Home » Langit Terbuka » Pastikan Jawi tidak terkubur

Pastikan Jawi tidak terkubur

Penulisan Jawi bukan hal baharu, malah manuskrip Melayu yang wujud membuktikan Jawi sudah membawa sejarah sebegitu lama hingga ratusan tahun, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya. - Foto mStar

KUALA LUMPUR – Masyarakat Melayu bekerjasama untuk memastikan penulisan Jawi yang menjadi bukti ketamadunan Melayu sejak sekian lama, tidak terkubur.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata kelangsungan penulisan Jawi penting, apatah lagi dengan peranan besarnya mengangkat citra Melayu melalui penulisan manuskrip lama.

“Penulisan Jawi bukan hal baharu, malah manuskrip Melayu yang wujud membuktikan Jawi sudah membawa sejarah sebegitu lama hingga ratusan tahun.

“Sejarah panjang menunjukkan penulisan Jawi perlu dipelihara dan dikekalkan oleh Melayu sehingga kiamat.

“Kita tak boleh putuskan Melayu dengan Jawi kerana habis Melayu habislah Jawi dan begitu juga sebaliknya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu 2019 di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di sini, hari ini (15 Oktober).

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Saraya Arbi dan Ketua Pengarah PNM, Maizan Ismail.

Terdahulu, Mohamaddin dalam ucapannya menyeru supaya penyelidikan dan penerokaan manuskrip Melayu dapat dilakukan semua pihak untuk membuktikan nilai intelek bangsa Melayu lebih tulen dan beridentiti.

Beliau berkata, beberapa dekad lalu pengarang Melayu pernah dianggap picisan yang mencedok karya sastera orang lain sebelum diberi nafas baharu supaya selari dengan cita rasa hidup dan budaya bangsa Melayu.

“Tanggapan dan tohmahan bersifat provokatif ini memberi kesedaran kepada pakar manuskrip Melayu untuk membuat semakan semula terhadap kajian lepas menggunakan sudut pandang Melayu.

“Hasil kajian semula menemukan pelbagai kesilapan fakta membabitkan tempat, masa, peristiwa, bahasa serta kesalahan bacaan dan tafsiran Jawi lama.

”Oleh itu, saya menyeru sarjana, penyelidik dan pelajar untuk merungkai kembali segala penyelidikan serta penerbitan lepas agar ia dapat diperbetulkan semula dengan sempurna.

“Pada masa sama, manuskrip Melayu perlu dilihat dalam konteks lebih sejagat selaras Revolusi Industri 4.0 yang memerlukan semua pihak bertindak pantas,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *