Home » Persuasif » Parodi budaya tidak sihat

Parodi budaya tidak sihat

Terdapat kecenderungan pihak tertentu menghasilkan parodi yang menampilkan lelaki berpakaian wanita.

SEJAK kebelakangan ini, rakyat Malaysia sering kali ‘dihidangkan’ dengan pelbagai video parodi di media sosial sehingga mencetuskan kebimbangan umum.

Video lelaki berpakaian wanita dengan aksi menghairahkan, melakukan tutorial solekan, meniru gaya selebriti tertentu dan meniru dialog kontroversi adalah antara yang menarik perhatian ramai sehingga menjadi tular.

Ia seolah-olah menjadi fenomena dalam kalangan anak muda apabila video sebegitu dikongsi secara meluas dan mendapat jutaan likes.

Pelbagai pendapat diutarakan pengguna media sosial terhadap video parodi yang dihasilkan telah menyebabkan pergaduhan.

Keadaan ini menimbulkan kebimbangan kerana ia bukan cara hidup Islam sebaliknya dilihat sebagai satu cara meluahkan perasaan tanpa batasan.

Seorang pengguna media sosial, Shahzatul Afiera Kartini Mohd. Affendy, 26, berkata, video parodi sudah menjadi fenomena dalam kalangan anak muda kerana ia dihasilkan oleh individu yang sering kali mencuri perhatian pengguna media sosial dengan aksi-aksi yang menghiburkan.

“Mereka yang menghasilkan video parodi ini kebanyakannya sudah menjadi selebriti media sosial dan mempunyai jumlah pengikut yang ramai.

“Justeru, tindakan mereka seolah-olah direstui walaupun kadangkala boleh menimbulkan perdebatan kerana mengaibkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Sensitiviti

Menurut Shahzatul Afiera, tindakan mereka yang menghasilkan video parodi tanpa memikirkan sensitiviti agama dan masyarakat majmuk di negara seolah-olah memperbodohkan diri sendiri.

“Islam mengajar kita untuk tidak memperbodohkan diri dengan melakukan perkara yang bertentangan termasuk menghasilkan video parodi sia-sia.

“Malangnya, kebanyakan mereka langsung tidak mahu memikirkan sensitiviti agama dan masyarakat majmuk sebaliknya memberi pelbagai alasan untuk menghalalkan tindakan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Program Psikologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya. Dr. Nor Ba’yah Abdul Kadir berkata, usia yang terlalu muda mempengaruhi seseorang bertindak di luar batasan.

“Tindakan mempersenda dan mengaibkan seseorang menerusi video parodi dianggap sebagai suatu tindakan berani dan hanya dilakukan oleh mereka yang tidak dapat berfikir secara matang.

“Mungkin usia yang terlalu muda menyebabkan mereka tidak dapat berfikir secara waras sehingga bertindak melakukan sesuatu di luar batasan untuk mendapatkan perhatian orang sekeliling,” katanya.

Malah menurut Nor Ba’yah, sikap sesetengah pengguna media sosial yang menyokong menyebabkan golongan ini terus berani menghasilkan video parodi.

“Setiap video parodi yang dihasilkan sering mendapat jutaan likes membuatkan mereka semakin membuak-buak untuk terus menghasilkannya. Mereka sebenarnya berani kerana ada yang memberi sokongan,” katanya.

Bagi Nor Ba’yah, apabila pengaruh budaya terlalu banyak ia memberi kesan terhadap perlakuan seseorang tanpa disedari.

“Kadang-kadang, apabila pengaruh budaya terlalu banyak, perlakuan akan melampaui batasan tanpa disedari sehinggakan segala yang dilakukan hanya untuk kepuasan semata-mata,” ujarnya.

Landasan

Pendakwah muda, Da’i Wan Dazrin Wan Din berkata, pandangan Islam dalam hal berjenaka secara umum adalah harus.

Bagaimanapun, menurutnya, ia menjadi haram apabila jenaka yang dibuat itu bertujuan menjatuhkan maruah seseorang.

“Berdosa besar bagi mereka yang menghasilkan video parodi bagi tujuan mengaibkan seseorang. Jika ditonton secara berulang kali atau dikongsi dengan rakan-rakan yang lain maka orang yang menonton juga menanggung dosa kerana sengaja mempersendakan.

“Islam tidak melarang apa juga bentuk hiburan, tetapi biarlah yang memberi faedah. Alangkah baiknya jika kita menghasilkan parodi yang menggalakkan masyarakat mengamalkan sunah Rasulullah,” katanya.

Wan Dazrin berpandangan, umat Islam perlu berhati-hati dalam isu berkaitan parodi kerana ia bersangkut paut dengan kesan yang akan menimpa masyarakat.

“Bayangkan video parodi yang menyerupai wanita, bertudung dan memakai alat solek. Ia melanggar syariat Islam bahkan mencemarkan maruah wanita kerana menggambarkan mereka dalam keadaan yang tidak sepatutnya.

“Ia juga cenderung mengundang komen negatif hingga mencetuskan pergaduhan dalam kalangan netizen. Hanya kerana hal sebegini boleh menyebabkan perbalahan dan ia tidak sepatutnya berlaku,” jelasnya.

Wan Dazrin berkata, langkah terbaik membuat teguran adalah dengan memberi nasihat kepada pihak yang melakukan kesalahan.

“Tujuan teguran tersebut adalah bukan untuk mengaibkan tetapi supaya kesilapan yang dilakukan dapat diperbetulkan selain mengelakkan lebih ramai terjebak,” ujarnya. – KOSMO

Artikel Berkaitan

Ummu Atiyyah sokong keputusan MKI

Kuala Lumpur: Anak sulung kepada bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Ummu Atiyyah menyokong keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *