Home » Ensiklopedia » Palestin: Pribumi Yang Mahu Dilenyapkan

Palestin: Pribumi Yang Mahu Dilenyapkan

Keputusan mahkamah Zionis yang mahu mengusir 12 keluarga Palestin dari penempatan tradisi Arab di Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis merupakan baki dari keseluruhan 24 keluarga yang mahu diusir oleh puak Zionis sejak 1982. Alasan Zionis ialah, Arab ini bukan penduduk asal tanah tersebut, atau dalam erti kata lain warga Palestin dituduh bukan pribumi, benarkah begitu?

Pertikaian mengenai siapa tuan tanah dalam konflik Palestin-Israel adalah sesuatu yang klasik dan seringkali dijadikan hujah puak Zionis kononnya nenek moyang mereka sejak dari zaman Nabi Daud (King David) telah membentuk negara monarki Israel silam di kawasan yang dahulunya dikenali sebagai Kan’an (Canaan). Catatan dari Injil (Bible) menyebut tanah tersebut asalnya dihuni oleh sekelompok manusia gergasi yang digelar Filistin (Philistine).

Fanatik Zionis menuduh Palestin adalah istilah ciptaan Maharaja Rom, Hadrian yang menjajah kawasan tersebut setelah kejatuhan kerajaan Israel silam akibat dari perpecahan bangsa mereka selepas kemangkatan Nabi Sulaiman (King Solomon). Walhal fakta yang disembunyikan ialah Palestin (asalnya dieja Palaistine) pertama kali disebut oleh sejarawan Yunani (Greek) bernama Herodotus yang merujuk kawasan tersebut dalam catatannya hampir 500 tahun sebelum Nabi Isa (Jesus) lahir.

Perkaitan antara istilah Palestin dan Filistin turut diakui oleh banyak ensiklopedia Yahudi termasuklah oleh “Jewish Virtual Library” yang boleh diakses secara terbuka melalui internet. Namun pada tahun 2019, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menafikan perkaitan Arab Palestin moden hari ini dengan kaum Filistin silam setelah keputusan ujian DNA menunjukkan kaum Filistin berasal dari Eropah manakala Arab Palestin pula dikatakan berasal dari Semenanjung Arab.

Sekali lagi masyarakat dunia dapat melihat penipuan serta putar-belit dari puak Zionis yang bermati-matian mahu menafikan sejarah Palestin di muka bumi ini. Keputusan ujian DNA (genetik) kaum Filistin tersebut tidak sesekali merupakan hujah untuk menafikan perkaitan kaum silam itu dengan Palestin. Bagaimana pula dengan ujian DNA terhadap Arab Palestin moden hari ini? Di sinilah konspirasi Zionis bakal “dibogelkan”.

Beberapa kajian DNA telah dijalankan untuk mencari perkaitan antara Arab Palestin, Yahudi, warga Kristian di Timur Tengah serta lain-lain etnik minoriti seperti Druze dan Kurdish. Antara hasil kajian terkenal ialah dari seorang saintis genetik warga Jerman bernama Almut Nebel. Kertas kajian beliau bertajuk “High-resolution Y chromosome haplotypes of Israeli and Palestinian Arabs reveal geographic substructure and substantial overlap with haplotypes of Jews” diterbitkan pada November 2000 oleh University College London adalah bukti nyata bahawa Arab Palestin adalah pribumi di kawasan itu.

Nebel menyimpulkan bahawa sebahagian atau mungkin majoriti Muslim Palestin adalah keturunan dari penduduk asal (tanah Palestin), terutama dari para penganut Kristian dan Yahudi yang telah memeluk Islam pada abad ke-7. Beberapa hasil kajian DNA yang lain juga menunjukkan bahawa Arab Palestin moden hari ini mempunyai pertalian genetik yang amat rapat dengan Yahudi berbanding sub-sub etnik Arab yang lain di Timur Tengah.

Dalam ilmu forensik dan perubatan, ujian DNA dianggap “piawai emas” yang tidak boleh disangkal kerana ketepatan. Pendek kata DNA tidak menipu, tetapi Zionis ya. Maka secara tidak langsung Arab Palestin yang majoritinya beragama Islam hari ini boleh dianggap sebagai salah satu dari 10 kabilah Bani Israel silam yang dikatakan hilang setelah perpecahan bangsa tersebut. Pengaruh budaya dan bahasa Arab yang dibawa bersama ajaran Islam sesungguhnya tidak menghilangkan jejak genetik sesuatu kaum tersebut.

Adalah tidak menghairankan kenapa Arab Palestin yang kita kenal hari ini cukup “degil”, lasak dan berani. Mereka bukan Arab tipikal biasa. Sepertimana nenek moyang mereka sejak zaman Nabi Musa (Moses), peperangan dan penindasan sudah menjadi darah daging mereka. Tidak seperti Yahudi Eropah (Askhenazi) yang kini membanjiri negara haram Israel, di mana keturunan mereka boleh dipertikaikan oleh fakta sejarah bangsa Khazar (etnik Eropah) yang memeluk agama Yahudi di zaman Pertengahan.

Sepertimana juga teori asal-usul etnik Pashtun (etnik majoriti di Afghanistan tetapi minoriti di Pakistan seperti Perdana Menterinya Imran Khan) yang dikatakan berasal dari 10 kabilah Bani Israel yang hilang turut diakui oleh pengkaji Yahudi Shalva Weil dari Hebrew University of Jerusalem. Dan Zionis tahu bahawa dalam ajaran asal agama Yahudi, salah satu syarat kembalinya kerajaan keturunan Nabi Daud di tanah Palestin ialah apabila 10 kabilah Bani Israel yang hilang itu kembali bersatu di Baitulmaqdis.

Dr. Muhammad Faiz Bin Na’aman
Timbalan Pengerusi Sektor Penyelidikan, Penerbitan & Antarabangsa
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)
15 Mei 2021

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *