TEBING BARAT – Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan, dalam perkembangan harian mengenai epidemik global Novel Coronavirus (COVID-19), wilayah Palestin sehingga kini kekal bebas wabak itu, walaupun menguji 145 kes yang disyaki sejak 20 Januari yang mana keputusannya negatif.
Kementerian itu berkata, lima individu kini berada di pangkalan kuarantin khas di Jericho, timur Tebing Barat, di mana mereka tiba dari negara-negara paling teruk terjejas selama 14 hari.
Sementara 60 orang lain yang datang dari negara-negara tertentu yang kurang dijangkiti, diarahkan untuk mengasingkan diri mereka di bilik khas di kediaman mereka selama 14 hari.
“Kementerian telah memperbaharui arahannya kepada orang ramai untuk bekerjasama dengan Direktorat Kementerian Kesihatan di semua kawasan pentadbiran gabenor serta mematuhi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung penyakit itu.
“Ia termasuk penggunaan tisu kertas untuk menutup mulut dan hidung ketika bersin dan batuk, menjaga kebersihan diri, amalan pemakanan selamat serta membilas tangan dengan sabun dan air atau antiseptik yang lain,” katanya.
Terkini lebih daripada 2,900 orang meninggal dunia di peringkat global akibat wabak yang menular dengan pantas muncul di wilayah tengah China di Hubei pada Disember lalu.
Beberapa negara Eropah mengumumkan kes baharu dengan lebih daripada 87,000 orang dijangkiti di seluruh dunia.
KOMEN