KUALA LUMPUR – Penasihat Association of NextGen Christian of Malaysia (ANCOM), Jason Leong dalam program ‘Sila Duduk Jangan Lari’ TV Alhijrah menyatakan lambang salib besar yang dibuat di Pulau Pinang adalah ‘tidak perlu’.
“Di Malaysia, kita memang tahu apa sensitiviti bangsa dan kaum yang lain, kami peka, dan kami tidak akan membuat perkara sedemikian.
“Perlukah saya membuat salib sedemikian besar? Kalau tak perlu dan tak membantu iman saya menjadi lebih teguh, maka tidak perlulah,” jelas Jason.
Dalam program selama satu jam itu, beliau juga mengatakan bahawa lambang salib sememangnya lambang syiar dalam agama Kristian. Namun saiz lambang tersebut tidak langsung berkait rapat dengan tahap keimanan seorang Kristian, dan tiada keperluan menghasilkan lambang salib berskala besar.
Pandangan wakil Kristian tersebut disambut baik oleh Mantan Imam Masjid Negara, Datuk Rashidy Jamil al-Rashid.
“Saya merasa gembira dan terharu apabila mendengar daripada penganut Kristian sendiri yang merasa tidak sesuai salib sebesar itu dibuat pada bukan premis ibadat,” katanya Rashidy.
Rashidy juga menjelaskan bahawa isu penentangan majoriti umat Islam terhadap salib besar yang dipamer pada bangunan di Pulau Pinang, bukanlah kerana ‘salibfobia’, tetapi kerana dilihat usaha penegakan lambang syiar agama Kristian yang berkemungkinan mencetuskan ketegangan agama dan kaum.
Beliau mengaitkan tindakan ini sama hampir sama seperti penegasan Kristian menggunakan kalimah Allah beberapa tahun sebelum ini.
Apabila ditanya tentang insiden mengedar Bible kepada pelajar sekolah di Pulau Pinang, Jason menjelaskan bahawa tindakan tersebut dilakukan oleh orang luar.
“Ia (pengedaran Bible) dilakukan orang luar negeri, bukan oleh gereja Malaysia.
“Ramai orang Kristian dari luar negeri, kadang-kadang nampak budak-budak Mat Saleh, mereka datang sini cuba membuat usaha pengembangan Kristian.
“Mereka tak sedari bahawa tindakan mereka melanggar undang-undang,” jelas Jason.
Jason turut menegaskan bahawa penyebaran agama lain kepada umat Islam adalah dilarang menurut undang-undang di Malaysia. – Al Hijrah News
KOMEN