Home » Langit Terbuka » Padah jual mahal penutup mulut, hidung

Padah jual mahal penutup mulut, hidung

KPDNHEP berkata, suspek didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) . - Foto UGC News

KUALA LUMPUR – Sebanyak 223,000 keping penutup mulut dan hidung 3 lapis bernilai RM446,000 berjaya dirampas oleh Penguatkuasa dari Seksyen Taktikal & Serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya

Operasi ini dijalankan hasil daripada maklumat yang diterima daripada orang awam yang mendakwa penjualan harga maksimum melalui Facebook Face Mask Wholesale (Malaysia Only) dan Pseud John Elton.

Premis di Kota Damansara itu dipercayai menjual sekeping penutup mulut dan hidung tersebut pada harga RM3.50 setiap satu, lebih tinggi berbanding RM2.00 yang dibenarkan.

Suspek menggunakan laman sosial facebook untuk mengiklan penjualan penutup hidung dan muka dan kaedah penjualan adalah melalui pesanan aplikasi Whatsapp dan barang dihantar melalui pos atau melalui kaedah Cash On Delivery (COD) di kawasan Kota Damansara Petaling Jaya.

KPDNHEP berkata, suspek didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000.00.

Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM1,000,000.00; atau jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM100,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.

Manakala bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.

Pengguna disarankan agar menyalurkan maklumat kepada Kementerian ini dengan melaporkan sebarang kegiatan yang mencurigakan melalui hotline 1-800-886-800 atau 03-8882 6088/ 6245 di Enforcement Command Centre (ECC) atau di https://e-aduan.kpdnhep.gov.my. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *