Home » Langit Terbuka » Orang ramai pilih TV AlHijrah

Orang ramai pilih TV AlHijrah

Malaysia QuranTime mencatatkan capaian hampir 1 juta penonton, kata CEO TV Al Hijrah. - Foto Diary Mama

KUALA LUMPUR – TV AlHijrah berjaya mencatat 75 peratus peningkatan dalam capaian penontonnya sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan koronavirus (Covid-19) berbanding dua minggu sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Namanzee Harris berkata, sebagai sebuah stesen televisyen yang mempromosi Islam sebagai gaya hidup, TV AlHijrah sedar sejak daripada mula tentang peranan dan pendekatan yang perlu diambil bagi memenuhi kehendak penonton sebaik PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Beliau berkata, team produksi pantas memikirkan program-program yang terbaik dan berkualiti yang mampu mendidik dan memberi ketenangan jiwa bagi memastikan penonton dapat menggunakan masa yang berharga dengan keluarga di rumah selain mengubat resah akibat Covid-19.

“Kami memahami penonton ketika itu mempunyai berbagai macam persoalan, kerisauan dan ketidaktenteraman di hati kesan dari penularan wabak tersebut. Program awal yang diterbitkan Malaysia #QuranTime dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Warisan Ummah Ikhlas.

“Ternyata program ini menjadi pilihan utama dengan capaian 926,00 penonton. Malaysia #QuranTime disiarkan setiap hari bermula dari jam 12 tengah hari menyaksikan penonton seisi keluarga berpeluang bertadarus bersama tetamu jemputan di studio,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, menggunakan tagline MengQurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah, program Islamik ini menampilkan pentadabbur al-Quran, Ustaz Fazrul Ismail sebagai hos rancangan dengan tetamu jemputan yang terdiri daripada ilmuan agama dan ahli akademik, selain penggunan nama program yang ‘catchy’.

“Selain kelas mengaji di televisyen, TV AlHijrah turut berjaya menarik penyertaan penonton dari rumah seperti program mengaji dalam talian di Facebook dengan tetamu jemputan seperti selebriti dan tokoh agama. Laman Facebook TV AlHijrah dilayari 10.6 juta pengguna dengan purata Like harian meningkat sebanyak 185 peratus,” katanya.

Namanzee berkata, dengan peningkatan yang cukup memberangsangkan itu, TV AlHijrah akan berusaha dengan lebih gigih untuk menyajikan kandungan-kandungan yang lebih berkualiti dan relevan sesuai dengan situasi yang rakyat Malaysia sedang hadapi saat ini.

“TV AlHijrah amat berterima kasih di atas sokongan berterusan penonton setia stesen ini. Mari kita sama-sama berdoa agar Allah menghindari kita dan keluarga kita daripada jangkitan berbahaya ini dan semoga ALLAH lenyapkan virus ini daripada muka bumi ini secepat mungkin,” katanya. – Sinar Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *