KUALA LUMPUR – Orang ramai digalakkan untuk mengamalkan beberapa panduan penggunaan elektrik yang praktikal dan bijak tenaga sebelum meninggalkan kediaman masing-masing sempena cuti perayaan Krismas dan akhir tahun.
Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dalam satu kenyataan berkata, terdapat beberapa panduan praktikal dan mudah yang boleh diguna pakai oleh orang ramai bagi memastikan peralatan elektrik di rumah berada dalam keadaan baik serta selamat sepanjang bercuti.
“Orang ramai boleh menutup suis peralatan elektrik yang tidak digunakan dan menanggalkan palam bagi mengelakkan arus elektrik terus mengalir serta mempertimbangkan penggunaan alat pengukur masa (timer) supaya lampu tidak dipasang 24 jam sehari.
“Memastikan semua soket dalam keadaan baik dan tidak dibebankan dengan penyesuai (adapter) berlebihan serta memastikan peralatan elektrik yang perlu dipasang berada dalam keadaan baik,” katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, orang ramai boleh membuka gulungan wayar sambungan tambahan sepenuhnya untuk mengelakkan menjadi terlalu panas jika digunakan.
“Selain itu, orang ramai juga boleh menguji Pemutus Litar Arus Baki (PLAB) atau Residual Current Circuit Breaker (RCCB) yang sebaik-baiknya dilakukan sebulan sekali.
“Rujuk laman web www.tnb.com.my atau Facebook TNB CareLine untuk mengetahui cara-cara menguji PLAB,” katanya.
Sementara itu, jelas kenyataan itu lagi, sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik semasa sambutan Krismas, para pengguna dinasihatkan untuk menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan TNB di talian 15454 atau Facebook TNB CareLine untuk mendapatkan bantuan. – Utusan Malaysia
KOMEN