Oleh ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
S.S Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri adalah Mufti Wilayah Persekutuan
Sayid Qutub berkata: Penganut-penganut akidah itu pasti diuji dengan kesusahan agar pegangan hati mereka bertambah kukuh dan kuat, kerana kesusahan-kesusahan dan penderitaan-penderitaan itulah yang dapat merangsang segala kekuatan dan daya tenaga mereka yang terpendam dan tersimpan.
Ia dapat membuka pintu dan lorong-lorong rahsia di dalam hati yang tidak dapat diketahui oleh seorang Mukmin kecuali ia berada di bawah tekanan kesusahan dan penderitaan. Nilai-nilai, ukuran-ukuran, kefahaman dan pemikiran tidak sihat, halus dan lurus kecuali ia berada di dalam suasana dugaan, dan penderitaan yang menghilangkan selaput dari mata dan karat dari hati.
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.” (al-Baqarah: 155-157)
Firman Allah SWT:
“Demi sesungguhnya!…” – Al-Qurtubi berkata: ‘Wau’ ini dibaca dengan fathah (baris atas) di sisi Sibawaih kerana bertemu dua baris yang mati. Sedangkan yang lain berkata apabila digabungkan kepada ‘nun’ yang berat nescaya dibina fe’el (perbuatan) maka jadilah dengan kedudukan setara lima belas.
“Kami akan menguji kamu…” – Bala pada asal boleh jadi baik dan boleh jadi buruk dan maknanya ialah kami pasti menguji kamu untuk kami mengetahui orang yang mujahid dan sabar sebagai ilmu yang nyata dan zahir sehingga layak diterima balasan, sebagaimana yang terdahulu.
Dikatakan sesungguhnya mereka diuji dengan ini sebagai tanda dan alamat bagi siapa selepas mereka, kemudian mereka mengetahui bahawa mereka bersabar di atas ini dan ditunjukkan kepada mereka jalan kebenaran. Ada pendapat menyatakan diberitakan kepada mereka dengan ini supaya mereka bertambah yakin bahawa mereka pasti diuji. Justeru, jadilah jiwa mereka kental dan tidak merasa keluh kesah. Dan ini merupakan balasan Allah yang segera atas azimah dan tetap jiwanya.
Dengan sedikit, al-Fara’ berkata: ‘Min’ atau sebahagian menunjukkan setiap jenis daripadanya sesuatu yang juga menggambarkan sedikit kerana sebelumnya wujud perkataan ‘shai’ iaitu sesuatu di mana datang dalam bentuk nakirah. Ulama usul berkata; salah satu daripada fungsi nakirah memberi maksud sedikit. Dalam bahasa yang lain.
“Perasaan takut (kepada musuh)…” – sama ada takut kepada musuh atau takut dalam peperangan. Inilah pendapat Ibn Abbas. Sedangkan Imam Syafie pula berpendapat; iaitu takut kepada Allah SWT.
“Dan (dengan merasai) kelaparan, iaitu dengan kebuluran…” – dengan sebab kering kontang dan kemarau. Inilah pendapat Ibn Abbas. Sedangkan Imam Syafie pula berpendapat iaitu kelaparan pada bulan Ramadan.
“Dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda…” – dengan sebab banyak memerangi orang-orang kafir. Dikatakan juga dengan sebab bala yang merosak dan menghilangkan harta. Imam Syafie berkata; dengan sebab zakat yang difardukan.
“Dan jiwa…” – Ibn Abbas berkata; dengan pembunuhan dan kematian ketika berjihad. Sedangkan Imam Syafie berpendapat dengan sebab pelbagai penyakit.
“Serta hasil tanaman…” – Imam Syafie berkata; dikehendaki dengan mati anak-anak kerana anak yang dilahirkan daripada seorang lelaki merupakan hasil tanaman hatinya. Sebagaimana datang dalam khabar, sedangkan Ibn Abbas pula berpendapat; dikehendaki di sini ialah sedikit tumbuh-tumbuhan dan terputusnya keberkatan. Justeru, Allah menguji manusia dengan takut, lapar, kekurangan harta benda, jiwa raga dan tanaman adalah sedikit sahaja dan bukan semuanya.
“Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar…” – Terdapat empat pendapat ulama berkenaan dengan siapakah ayat ini ditujukan:
- Sahabat Nabi sahaja. Inilah pendapat ‘Ata’.
- Mereka adalah ahli Mekah.
iii. Ini adalah pada akhir zaman. Sehingga Ka’ab berkata; akan berlaku pada manusia satu masa, satu pohon kurma tiada buah kecuali satu biji tamar sahaja.
- Ayat ini adalah umum.
Al-Qurtubi berkata: Jadilah sabar kehidupan mereka dan sabar itu terbahagi kepada dua. Sabar daripada maksiat, inilah sebagai orang yang mujahid dan sabar atas taat kepada Allah. Inilah sabar orang yang abid. Apabila seseorang bersabar daripada maksiat kepada Allah dan bersabar atas ketaatan kepada Allah, nescaya Allah wariskannya keredaan dengan qadanya. Alamat reda ialah tenangnya hati dengan apa yang berlaku dalam kesusahan. Al-Khawwas berkata: Sabar ialah thabit di atas segala hukum kitab dan sunnah. Ruwaim pula berpendapat: Sabar ialah meninggalkan pengaduan. Zu al-Nun al-Misri berpendapat: Sabar ialah meminta tolong dengan Allah SWT sahaja. Al-Ustaz Abu Ali al-Daqqaq berpendapat: Sabar ialah hadnya tidak menentang takdir Tuhan.
“(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali…” – Perkhabaran seperti ini memberi satu kekuatan kepada diri mereka untuk bersabar dan ingatan serta ikrar bahawa kami akan dibangkitkan dan dibalas mengikut amalan serta pahala atas kesabaran kami. Sa’id bin Jubir berkata: Sesungguhnya dikurniakan pada umat ini ketika musibah sesuatu yang tidak dikurniakan kepada mana-mana Nabi sebelum ini iaitu ayat istirja’ dan kalau dikurniakan kepada para Nabi nescaya dikurniakan kepada Yaakub yang berkata; alangkah malangnya terhadap Yusuf.
Seterusnya benarlah apa yang diriwayatkan oleh ‘Ikrimah; bahawa pelita Rasulullah SAW terpadam pada satu malam. Lantas Baginda mengucapkan: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Kemudian dikatakan kepadanya: ‘Adakah ini dianggap musibah hai Rasulullah?’ Jawab Baginda: ‘Ya. Setiap yang menyakiti orang beriman maka ia dianggap musibah.”
“Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya…” – Sa’id bin Jubir berkata: Selawat daripada Allah ialah keampunan. Sedangkan orang yang mendapat hidayat dengan sebab istirja’. Justeru Umar bin al-Khattab berkata: Sebaik-baik keadilan dan sebaik-baik yang tinggi. Al-Qurtubi menyebut: Inilah nikmat-nikmat Allah ke atas orang yang bersabar dan sentiasa beristirja’. Solat Allah terhadap hambanya ialah keampunan, rahmat, berkat dan kemuliaannya di dunia dan akhirat. Sedangkan al-Zajjaj pula berpendapat: Solat daripada Allah ialah keampunan dan pujian yang baik. Dari sini solat terhadap si mati dengan maksud pujian ke atasnya dan doa untuknya. Diulang perkataan rahmat daripada khilaf lafaz sebagai penguat dan memberi makna yang sebenar.
Antara iktibar dan pengajaran ayat:
- Dunia merupakan medan ujian bagi mengesahkan dan menapis hakikat perhambaan. Jika berjaya nescaya bahagialah, sebaliknya jika rebah nescaya rugilah.
- Amat besar ganjaran dan balasan Allah terhadap orang yang sabar sehingga dikurniakan tiga keistimewaan iaitu selawat, rahmat dan hidayah.
iii. Hendaklah seseorang mengamali doa istirja’ kerana ia merupakan ikrar dengan ubudiyah dan pemilikan hanya bagi Allah dan disudahi dengan ikrar dengan fana dan bangkitnya daripada kubur serta yakin bahawa segala urusan kembali kepada Allah jua. Sebagaimana kata Syeikh al-Maghari.- MAJALAH DAKWAH
KOMEN