Oleh MOHD SHUKRI HANAPI
Dr. Mohd Shukri Hanapi ialah Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang
Kepesatan pembangunan teknologi tidak patut dipinggirkan, sebaliknya perlu dilihat sebagai satu kelebihan dalam usaha memperkasa dan memperluaskan lagi skop gerakan dakwah masa kini. Kombinasi antara keduanya itu mampu menjadikan usaha penyampaian risalah Allah SWT kepada khalayak umum menjadi lebih cepat, tepat dan berkesan.
Antara teknologi yang menjadi tumpuan utama hari ini adalah bidang perfileman. Filem boleh dijadikan sebagai salah satu medium dakwah asalkan ia mempunyai tujuan untuk berdakwah. Hal ini sangat sesuai kerana filem mempunyai pengaruh yang kuat untuk menguasai emosi penonton kerana ia disajikan dalam bentuk penglihatan (al-basar) dan pendengaran (al-sam‘). Melalui penglihatan dan pendengaran inilah para penonton (mad‘u) dapat menghayati serta mendalami secara langsung nilai-nilai, sama ada nilai positif atau negatif yang terkandung dalam sesuatu filem.
Selain filem hadir dalam bentuk penglihatan dan pendengaran, filem juga dapat memberikan pengalaman-pengalaman baharu kepada para penonton, seperti wujudnya sentuhan perasaan dan pemikiran. Filem dapat memberikan pengaruh yang cukup besar kepada jiwa manusia ketika menonton sehinggakan para penonton menyamakan dirinya atau meniru dengan salah seorang watak pelakon dalam filem yang ditontonnya. Jelaslah bahawa filem bukan sahaja sebagai medium komunikasi yang ampuh dan untuk hiburan semata-mata, tetapi juga mampu dijadikan sebagai alat untuk para pendakwah menyampaikan mesej-mesej dakwah mereka.
Pengaruh Jelek Filem Barat
Tidak dinafikan, antara punca keruntuhan akhlak dan moral khususnya remaja hari ini adalah disebabkan pengaruh filem-filem tertentu terutamanya filem-filem Barat yang banyak mengetengahkan nilai-nilai negatif. Filem-filem ini jelas menyajikan unsur-unsur yang bertentangan dengan nilai-nilai keislaman dan ketimuran. Contohnya terlalu banyak filem Barat yang menayangkan adegan ranjang seperti bercium, berpelukan, membuat hubungan sulit, dan bertukar-tukar pasangan tidur. Tidak kurang juga penayangan filem aksi ganas seperti pergaduhan dan pembunuhan kejam.
Apabila masyarakat sering disajikan dengan filem-filem seumpama itu, lama-kelamaan mereka akan jadi ‘penagih’. Selagi tidak ada adegan seks dan ganas, keseronokan dan kepuasan menonton itu tidak tercapai. Hal ini dengan sendirinya membantu menjayakan industri berfileman Barat yang ‘berjaya’ merosakkan akhlak dan budaya kita.
Selain itu, apabila filem-filem tersebut dipertontonkan, lazimnya golongan remaja dan muda-mudi akan meniru gaya dan aksi negatif pelakon-pelakon pujaan mereka. Natijahnya, wujudlah budaya bertindik telinga bagi lelaki, memakai seluar yang sengaja dikoyakkan pada bahagian lutut, seks bebas, lari dari rumah, ketagihan arak, rogol, dadah, sumbang mahram, dan kes pembuangan bayi. Secara tidak langsung, ia mencetuskan kemelut jati diri bagi remaja yang sedang mencari identiti diri seterusnya terlibat dalam gejala hedonisme.
Perlu ditegaskan di sini bahawa filem-filem Barat ini boleh menjadi modern day idolatry dan menjadi ancaman kepada pegangan agama jika ia tidak dikawal dan disekat. Masyarakat bagaikan terperangkap dengan teori Barat yang mengatakan kalau hendak maju, gaya dan budaya hidup Barat mesti diikuti (eurocentrism).
Jelas di sini bahawa gejala sosial dan penyakit keruntuhan akhlak semakin gawat dan meningkat hari demi hari berikutan kebanjiran filem-filem Hollywood yang tidak terkawal ini. Tambahan pula, pada masa kini wujud pula satu saluran maklumat tanpa sempadan yang canggih iaitu internet. Melalui saluran maklumat ini, golongan remaja dengan mudah memuat turun filem-filem yang jelas bertentangan dengan syariat Islam dan budaya masyarakat Malaysia.
Dalam pada itu, penyeludupan video-video dan VCD dari luar negara semakin berleluasa. Masyarakat, terutamanya golongan remaja boleh mendapatkannya dengan mudah kerana video-video tersebut dijual dengan bebas di pasar-pasar malam dan juga terdapat di pasar-pasar gelap.
Di pawagam pula, setiap hari pasti ada filem-filem yang berunsur ganas dan seks separa yang tidak sesuai ditonton oleh para remaja di negara ini. Label 18SX, 18SG dan 18PL hanyalah bagaikan sekadar hiasan dan jarang sekali diadakan pemantauan. Jika masyarakat disajikan dengan filem-filem yang berunsur lucah dan ganas secara berterusan dan tiada langkah drastik untuk menanganinya, maka sudah pasti akan lahirlah generasi yang nilai akhlaknya mencecah ke paras sifar, malah sentiasa mengikut ideologi dan pandangan Barat. Mereka mengagung-agungkan orang lain sehingga hilang nilai-nilai murni dan semangat kepimpinan dalam diri.
Filem Dakwah Berkualiti
Bagi mengimbangi lambakan filem-filem Barat ini, ada pihak yang berusaha menerbitkan filem-filem yang berunsur dakwah. Walau bagaimanapun, media dakwah yang ada pada hari ini, terutamanya dalam bentuk tayangan filem nampak masih kurang mempromosikan tingkah laku terpuji seperti menyebarkan nilai-nilai positif yang berupaya mempengaruhi tingkah laku masyarakat supaya menjadi lebih baik.
Kekurangan ini paling tidak disebabkan oleh dua faktor utama. Pertama, umat Islam masih tidak mengoptimumkan penggunaan filem sebagai alat untuk berdakwah; dan kedua, kebanyakan filem tempatan yang ada dilihat sering memaparkan peranan golongan ustaz dan pendakwah yang tidak kena pada tempatnya. Mereka hanya sekadar diletakkan sebagai penghalau hantu dan jin; pembaca doa, mengimami solat, menangkap orang khalwat, penghukum kepada orang yang tidak mentaati ajaran Islam dan sebagainya. Sebagai filem dakwah, ia sepatutnya menyampaikan mesej dakwah dengan cara yang mendamaikan dan menyejukkan.
Dalam hal ini, penerbit dan pengeluar filem sepatutnya lebih banyak menerapkan nilai-nilai dakwah dan penerapan unsur hiburan terkawal. Dalam hal ini kita boleh mencontohi industri filem dakwah Indonesia seperti filem “Kiamat Sudah Dekat” yang mengisahkan pertembungan budaya antara dua golongan manusia yang ‘berkiblatkan’ Barat dan Timur. Meskipun garapan ceritanya ringkas dan ringan tetap menonjolkan nilai-nilai luhur yang tinggi. Tujuannya tidak lain ialah bagaimana mengenal Allah Maha Besar.
Sesuatu filem dakwah perlu mempunyai kualiti. Filem dakwah yang berkualiti ialah filem yang mampu memberi pencerahan kepada masyarakat. Dimaksudkan dengan filem dakwah yang berkualiti di sini bukanlah filem yang penuh dengan ceramah dan syarahan agama, tetapi ia filem yang mampu menyampaikan sesuatu mesej positif dengan halus dan berseni sehingga memberi kesan kepada hati kecil (al-af’idah) para penonton. Contohnya, filem animasi Kartun ‘Ipin dan Upin’ yang mampu menyampaikan mesej dakwah melalui peranan anak kecil sehingga mampu menarik simpati golongan kanak-kanak dan dewasa. Hal ini sangat berbeza dengan filem animasi Kartun ‘Shincan’ dan ‘Doraemon’ yang banyak memaparkan perilaku kanak-kanak yang nakal dan tidak beradab.
Oleh itu, umat Islam seharusnya lebih bijak dan kreatif dalam menggunakan filem sebagai alat untuk menyebarkan dakwah Islam, iaitu mengajak umat manusia kepada kebenaran dan kembali ke jalan Allah SWT. Filem sebagai media dakwah mempunyai kelebihan tersendiri berbanding dengan media-media lainnya. Dengan kelebihan itulah filem dalam menjadi media dakwah yang efektif. Segala mesej dakwah dapat disampaikan kepada penonton secara halus dan menyentuh hati. Hal ini selari dengan perintah Allah SWT supaya sesuatu mesej dakwah itu disampaikan secara qawlan sadidan, iaitu dengan benar, jujur, jelas, menyentuh dan membekas di hati (al-Nisa’ ayat 9 & al-Ahzab ayat 70).
Paling penting ialah umat Islam tidak sepatutnya membiarkan pihak Barat yang begitu prejudis terhadap Islam mendominasi saluran media ini, terutamanya industri berfileman. Filem boleh dikembangkan mengikut citarasa yang sesuai selagi berada di landasan yang benar.
Bagi menyemarakkan lagi semangat berdakwah melalui filem ini, pihak-pihak tertentu boleh mengadakan festival filem-filem pendek berunsur Islam (Islamic Short Movie Festival-ISMF) secara tahunan. Sebenarnya perkara ini pernah dianjurkan oleh Fakultas Ilmu Budaya (FIB), Universitas Gajah Mada (UGM) pada tahun 2013 yang lalu. ISMF ini sangat mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari kalangan anak-anak muda yang sangat kreatif dalam menghasilkan karya dakwah melalu bidang perfileman. – MAJALAH DAKWAH
KOMEN