DEKLARASI Istanbul pada sidang kemuncak luar biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) baru-baru ini memutuskan bahawa Baitulmuqaddis Timur ibu negara Palestin. Kesemua 57 negara anggota mengumumkan pendirian Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berhubung kota suci itu tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa.
Meskipun kehadiran OIC baru sekitar satu perempat abad, pertubuhan itu bertindak memusatkan perhatian dunia Islam terhadap masalah-masalah politik, sosial dan ekonomi. OIC tidak seharusnya dilihat hanya mewakili kepentingan negara-negara Arab yang kaya.
Selama ini OIC sering dilihat bersikap pasif terhadap persoalan Palestin khususnya. Justeru dalam isu Palestin itu, mentaliti Arab harus berubah kalau tidak ia akan terus menerus meletakkan Israel menjadi pemimpin dunia Arab.
Namun OIC ada waktunya selektif ketika memilih masalah yang akan ditanganinya khususnya di luar isi resolusi. Misalnya, isu Palestin, isu penaklukan Kesatuan Soviet ke atas Afghanistan, perang saudara di Somalia, isu Masjid Babri di Ayodhya, India dan krisis Bosnia-Herzegovina.
Meskipun kegiatannya begitu luas namun OIC pada intinya tetap sebuah organisasi politik. Perbezaan kepentingan dan penekanan antara negara anggota menghambat peningkatan darjat perpaduan. Oleh itu, pengkritik terus mengecamnya sebagai pertubuhan konservatif atau ‘mimbar bicara’ yang tidak efektif atau kedua-duanya. Perbezaan kepentingan di antara negara anggota terserlah ketika krisis Perang Teluk 1990-1991.
Masuk abad ke-21, OIC perlu meluaskan langkahnya secara lebih efektif khususnya dalam menghadapi pengaruh berbahaya dan dominasi Barat ke atas bangsa Timur dan orang Islam, serta menyedari kesannya jika dibiarkan ia akan menghancurkan ummah seluruhnya.
Kita boleh mengambil iktibar daripada pandangan Sayyid Sheikh Jamaluddin Al-Afghani yang pernah berkata, beliau tidak takut akan pengaruh kekuatan pemerintahan mana pun. Beliau yakin pemerintahan kolonialis Barat yang perkasa, pada akhirnya harus runtuh menghadapi tentangan kaum Islam, asal saja orang Islam menyingkirkan perbezaan kecil dan mengambil perpaduan untuk tujuan bersama.
Jamaluddin melihat empat penyakit dihadapi Islam dan menawarkan lapan cara terapinya. Keempat-empat penyakit itu adalah absolutisme dalam corak pemerintahan; sifat kepala batu dan kebodohan rakyat serta ketinggalan dalam ilmu dan peradaban; penyelewengan idea-idea berkaitan agama dan bukan agama, dan pengaruh kolonialisme Barat.
Sesuai dengan empat penyakit itu, Jamaluddin memberikan lapan jalan penyelesaian iaitu:
* Bangkitkan kesedaran berpolitik melawan absolutisme. Harus dijelaskan kepada orang ramai perjuangan politik adalah kewajipan agama, tidak ada pemisahan antara agama dan politik. Setiap orang harus terlibat dalam nasib politik negara dan masyarakat Islam.
* Lengkapi diri dengan sains dan teknologi moden. Dominasi Barat terjadi kerana keunggulan dalam sains dan teknologi. Orang Islam tidak harus menolak segala perkara yang datang dari Barat. Mereka harus belajar dari Barat, tetapi bukan mengadaptasi peradaban mereka.
* Kembali kepada Islam yang sebenarnya. Segala bentuk penyelewengan dalam amalan Islam harus dibuang; umat harus dikembalikan kepada al-Quran dan al-Sunah.
* Hidupkan Islam sebagai akidah yang komprehensif. Islam adalah agama sains dan kerja keras, agama yang menuntut tanggungjawab, agama yang memuliakan akal dan membenci tahyul.
* Penjajah asing di dunia Islam bukan saja mempunyai implikasi eksploitasi politik, tetapi juga dominasi ekonomi dan budaya. Orang Islam harus disedarkan sekularisme adalah taktik Barat untuk melenyapkan pengaruh Islam dalam masyarakat. Harus ditegaskan budaya Barat tidak akan membawa kemakmuran manusia. Budaya Barat adalah budaya penindasan.
* Untuk melawan penaklukan Barat, orang Islam harus bersatu. Bersatu tidaklah bererti menyatukan mazhab. Bersatu bererti menyatukan barisan depan pimpinan politik dan organisasi. Ia mengecam pembahagian Islam dalam negara-negara kecil dan mengkhutbahkan Pan-Islamisme.
* Tiupkan roh jihad ke dalam jasad masyarakat Islam yang setengah mati. Menghadapi kehancuran akibat Barat, orang Islam harus menegakkan Islam sebagai agama perlawanan dan perjuangan.
* Hilangkan rasa rendah diri dan rasa takut terhadap Barat. Orang Islam tidak boleh takut terhadap hingar-bingar suara Barat.
Sejak akhir abad ke-19, dunia Islam mulai berkembang perasaan dan sikap anti-Yahudi yang amat mempengaruhi hubungan umat Islam dan Yahudi selanjutnya. Hal ini pada awalnya bersumber daripada kekhuatiran kaum Muslim akan implikasi Zionisme, sebuah ideologi politik yang didirikan oleh pemuka Yahudi sekular sebagai reaksi atas sikap anti-Semitisme (sikap anti-Yahudi) di Eropah.
Sebagai reaksi terhadap anti-Semitisme itu, pemimpin Yahudi sekular menubuhkan gerakan Zionisme. Theodore Herzl yang disebut sebagai pengasas Zionisme, menulis bukunya, Der Judenstaat (Negara Yahudi) pada 1896. Para perintis gerakan ini terdiri daripada orang Yahudi sekular dari Jerman dan Austria.
Kelahiran gerakan Zionisme tidak ada sangkut paut dengan Yahudi sebagai agama. Faktor pendorong utamanya adalah keberadaan umat Yahudi yang hanya dianggap sebagai paria di Eropah. Tujuan Zionisme hendak dicapai melalui dua cara utama.
Pertama, membebaskan orang Yahudi daripada pemaksaan agama dengan memberi mereka sebuah tanah air, tempat mereka dapat menikmati kemakmuran ekonomi dan politik. Kedua, membangun sebuah kebudayaan murni Yahudi, tempat umat Yahudi dapat mengekspresikan semangat keyahudian mereka.
Namun pilihan Zionisme akan Palestin sebagai rumah nasional bagi bangsa Yahudi telah mengaitkan cita-cita mereka dengan sejarah suci Yahudi yang tercantum dalam kitab Taurat. Inilah yang menyebabkan gerakan Zionisme semakin diwarnai simbol keagamaan. – www.utusan.com.my
PENULIS ialah Setiausaha Analisis dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
KOMEN