KUALA LUMPUR 19 Jan. – Satu ketika dahulu, kejayaan Aung San Suu Kyi ‘merampas’ tampuk pemerintahan Myanmar dilihat bakal membawa sinar baharu kepada negara itu, namun segala-galanya kini bagaikan tidak membawa apa-apa makna.
Kerajaan baharu itu dilihat gagal untuk menghentikan keganasan yang berterusan membabitkan penduduk Rohingya.
Atas dasar itu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) melalui Setiausaha Agungnya, Dr. Yousef A. Al-Othaimeen menyuarakan rasa kecewa berhubung kegagalan berkenaan.
“Walaupun terdapat kemajuan dalam proses demokrasi dan peralihan kepada kepimpinan baharu, terdapat bukti mengenai kempen berterusan dan terancang mengenai keganasan yang dilakukan ke atas umat Islam Rohingya.
“Ini dinyatakan dengan jelas dalam laporan yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zeid Ra’ad Al Hussein pada 20 Jun tahun lalu tentang pelanggaran hak asasi manusia khususnya terhadap masyarakat Rohingya,” katanya.
Beliau berucap semasa pembukaan Sesi Tergempar Majlis Menteri-menteri Luar OIC Mengenai Situasi Minoriti Islam Rohingya di Myanmar di sini hari ini.
Majlis pembukaan sesi tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Yousef berkata, laporan PBB mengesahkan masyarakat Rohingya masih menderita termasuk dinafikan kewarganegaraan, berdepan sekatan, ancaman bunuh serta keganasan-keganasan lain.
Jelasnya, beribu-ribu penduduk Rohingya juga telah melarikan diri ke negara luar bagi mencari perlindungan dan jumlah itu dijangka meningkat.
“Di Bangladesh sendiri sudah ada 65,000 pelarian Rohingya. Keadaan ini adalah ancaman kepada kestabilan rantau ini,” tegasnya.
Untuk itu katanya, nasib etnik Rohingya tidak boleh diabaikan atau dipandang sebelah mata.
“Ini berkaitan dengan isu hak asasi manusia dan kebimbangan global. Kita mahu masyarakat antarabangsa, OIC dan ASEAN menekan Myanmar khususnya membenarkan akses bantuan kemanusiaan,” tambahnya.
Bagi OIC jelasnya, pertubuhan itu akan berusaha mendekati pihak berkuasa Myanmar bagi membolehkan mereka menggunakan dasar yang telus ketika berdepan dengan isu-isu etnik minoriti.
“Perkara itu termasuk penekanan kepada langkah konkrit mengiktiraf kerakyatan Rohingya,” katanya.
KOMEN