KUALA LUMPUR 18 Januari – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) didesak untuk campur tangan menghentikan keganasan terhadap penduduk etnik Islam Rohingya di Wilayah Rakhine supaya jenayah pembersihan etnik yang pernah berlaku di Kemboja dan Rwanda tidak berulang kembali.
Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, penindasan terhadap etnik berkenaan telah mengorbankan 86 nyawa dan dianggarkan lebih daripada 66,000 ribu orang lagi menjadi pelarian di sempadan Bangladesh.
“Sejak konflik ini meletus pada 9 Oktober tahun lalu, ia bukan lagi isu dalaman Myanmar semata-mata tetapi kini sangat memerlukan keprihatinan antarabangsa,” katanya dalam satu temuramah bersama agensi berita Reuters di sini.
Syed Hamid berkata, OIC akan meminta PBB supaya campur tangan kerana komuniti antarabangsa hanya mampu melihat dan mengira berapa ramai lagi yang mati.
“Sedangkan kita mempunyai pengalaman yang lepas untuk diambil pengajaran dan kita mesti melakukan apa yang perlu untuk menghentikan keganasan ini,” katanya.
Esok akan berlangsung mesyuarat khas OIC anjuran Malaysia bagi membincang dan mencari jalan bagi menyelesaikan konflik yang menimpa minoriti Rohingya itu.
Menurut Syed Hamid, Kumpulan-kumpulan Hak Kemanusiaan, para penduduk dan pelarian memberitahu sendiri bahawa anggota tentera Myanmar yang melakukan jenayah pembunuhan terhadap penduduk awam, memperkosa wanita Rohingya dan membakar rumah etnik tersebut sejak bermulanya operasi ketenteraan di utara Wilayah Rakhine pada 9 Oktober tahun lalu.
Namun laporan tersebut dinafikan oleh kerajaan Myanmar dan mendakwa laporan-laporan tersebut adalah palsu dan apa yang berlaku di Wilayah tersebut hanyalah masalah dalaman semata-mata.
Jurucakap Myanmar, Zaw Htay di pejabat Presiden Myanmar Htin Kyaw, pula dilaporkan berkata, mereka tidak akan menghadiri mesyuarat khas OIC itu kerana Myanmar bukan negara Islam.
Malah, mereka telah menyatakan prinsip dan pendirian berhubung konflik ini kepada anggota-anggota ASEAN dalam satu mesyuarat pada Disember lalu.
“Campur tangan dari pihak PBB itu hanya akan berhadapan dengan isu penentangan sia-sia daripada penduduk tempatan.
“Sebab itu komuniti antarabangsa perlu mempunyai pendekatan yang positif dan memahami secara keseluruhan situasi konflik yang berlaku di negara kami ini,” katanya.
KOMEN