KUCHING – Adalah penting untuk memastikan kebajikan dan perhubungan dengan Orang Yang Diparol (ODP) sentiasa disantuni dan terjalin sebagai salah satu usaha memulih dan mengembalikan mereka kepada masyarakat.
Sesuai dengan tujuan itu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM ) Sarawak pada 15 Mac telah berkunjung ke Pejabat Parol Jabatan Penjara Kuching bagi menyantuni ODP di pusat berkenaan.
Sebanyak 33 pek barangan keperluan harian disampaikan dalam program ini. Sebagai simbolik penyerahan, Pengarah YADIM Sarawak, Awang Dulhadi Awang Mat telah menyerahkan barangan kepada Ketua Inspektor Penjara, Tuan Zuhainim Haji Sebli serta lima ODP di pusat itu.
Awang Dulhadi dalam ucapannya berkata, kerjasama antara YADIM dan pejabat parol ini akan terus dilaksanakan bagi membantu ODP dalam proses pemulihan khususnya dari sudut bimbingan agama.
Beliau turut mengambil maklum situasi masa ini, apabila ada dikalangan masyarakat terutama ODP di sini yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan berharap bantuan disampaikan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka.
Tuan Zuhainim dalam reaksinya mengucapkan terima kasih atas bantuan yang disampaikan dan memberitahu pihaknya menyambut baik jalinan kerjasama antara pihaknya dengan YADIM.
Kedua pihak juga merancang pelbagai lagi program bersama pada masa akan datang, khususnya yang membantu ODP dalam aspek pemulihan diri dan program program membantu menjana ekonomi mereka.
Hadir bersama dalam majlis ringkas ini, Inspektor Penjara, Ambrose Kon Ted Wei dan pegawai-pegawai Parol serta YADIM.
KOMEN