Mati itu pasti. Setiap yang bernyawa itu pasti akan mati. Walau bagaimana kita rasa gerun dengan kematian, ia tetap akan berlaku. Walau kita lari ke ceruk mana sekalipun, malaikat maut tidak pernah leka dari tugasnya.
“Di mana saja kamu berada, kematian pasti akan mendapati kamu, walaupun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh.” (An-Nisa’ 4: 78)
Menyelak pelbagai peristiwa, kisah dan tragedi yang berlaku di sekeliling kita, alangkah ‘fragile’ nya nyawa manusia. Antara tragedi yang amat dirasai adalah tragedi kren tumbang berhampiran lokasi Safa dan Marwah dan rempuhan yang berlaku di kalangan jemaah haji di Mina baru-baru ini. Bayangkanlah, kumpulan jemaah daripada pelbagai negara yang Allah himpunkan untuk menunaikan ibadah haji, pergi dalam tragedi yang langsung tidak terfikir oleh kita sebagai manusia biasa.
Entah apa yang berlaku di saat kematian hampir tiba di rengkung mereka. Itu belum dikira dengan kes kemalangan jalan raya, pembunuhan dan kematian mengejut. Apakah yang mereka hadapi sebenarnya ketika malaikat Izrail merenggut nyawa mereka? Hanya Allah Yang Maha Tahu.
Sejak kejadian MH370 dan MH17, ramai di kalangan kita yang seakan trauma untuk menggunakan pengangkutan udara. Takut kalau-kalau kapal terbang terhempas, atau ditawan oleh sekumpulan pihak yang berniat jahat atau mungkin ditembak sebagaimana yang berlaku kepada MH17. Tetapi mahu tidak mahu, kita perlu juga menggunakannya untuk urusan kerja, urusan belajar, melancong ataupun pulang ke kampung.
Namun, pengalaman menaiki kapal terbang dalam perjalanan pulang dari Sibu ke Kuala Lumpur baru-baru ini, semakin menguatkan minda saya untuk terus duduk bertafakur tentang kematian. Gerun walaupun hanya beberapa ketika. Saya kira ini kali kedua saya berhadapan dengan situasi sebegini. Fobia sebenarnya tetapi kemestian untuk bertemu dengan kaum keluarga sempena Hari Raya Aidiladha juga merupakan satu kelangsungan hidup.
Keadaan pesawat yang bergegar sebaik sahaja mencecah ruang udara disebabkan ketebalan awan yang berpunca daripada cuaca yang kurang baik, membayangkan saya kepada destinasi terakhir kehidupan.
Saat pesawat menjunam seketika atau dipanggil situasi ‘air pocket’, benar-benar membuatkan dada saya mahu pecah. Jantung seperti mahu terkeluar. Saya mengucap dan beristighfar banyak kali. Kedua-dua buah hati saya yang peluk erat. Suami saya juga bertakbir. Penumpang lain ada yang sudah menjerit.
Saya hanya bayangkan, kalau pesawat tersebut itu jatuh, saya hanya mampu redha dan berserah. Itu sahaja yang mampu dilakukan. Cuma, saya sempat menanam harapan, kalau benarlah begitulah pengakhiran saya, saya harap jasad kami anak beranak sempurna untuk dituntut oleh ahli keluarga.
Sejam pertama, hati saya rusuh. Setelah, keadaan makin tenang, saya masih tidak berhenti berdoa agar perjalanan kami dilindungi hinggalah selamat mencecah tanah KLIA. Alhamdulillah…sejam kedua pesawat terbang tanpa berlaku sebarang gegaran sehinggalah tiba di KLIA.
Pemergian ibu saudara kepada suami ke rahmatullah pada pagi kepulangan kami ke Kuala Lumpur, juga menyedarkan saya orang yang kita lihat semalam, yang dikatakan hanya demam biasa akhirnya menemui penciptaNya secara tiba-tiba. Kun fayakun.
Berapa ramai antara kita yang sering memikirkan tentang kematian? Kita melihat ramai kaum keluarga, sahabat handai, rakan taulan dan ulama-ulama besar yang telah ‘pergi’ lebih awal daripada kita. Kita menginsafi pemergian mereka. Tetapi sehingga bila? Masa berlalu, kita sudah melalui kehidupan seperti biasa. Masih melakukan perkara-perkara yang lagha dan hal duniawi.
Usia tidak menjanjikan kematian seseorang. Baik muda mahupun tua ataupun orang sakit dan orang sihat. Semuanya pasti melalui kematian yang telah ditetapkan di Luh Mahfuz.
Mengingati mati juga perlu menjadi agenda dalam kehidupan kita yang serba sementara ini. Mengingati mati itu menjadikan kita sedar kedudukan kita yang sebenarnya sebagai hamba Allah SWT.
Kata Saidina Ali bin Abi Talib, “Dunia ini adalah ladang akhirat.” Kita menuai segala amal baik dan buruk di sini dan hasilnya kita akan perolehi di alam kekal kelak.
Nyawa kita milik Allah. Rapuhnya ia hanya asbab sebuah kematian. Yang pasti, kita semua akan ‘pergi’ sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Apabila sampai ajal maut seseorang itu ia tidak dapat ditunda atau dipercepat, walau sesaat pun.” ( al-A’raf 7: 34)
Editor.
KOMEN