Home » Langit Terbuka » Nikah sempadan: Wanita lebih banyak dapat masalah

Nikah sempadan: Wanita lebih banyak dapat masalah

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) berkata, pernikahan rakyat Malaysia yang dilaksanakan di luar negara bukan jalan mudah sebaliknya dilabelkan sebagai langkah ‘cari pasal’

SUNGAI PETANI – Perkahwinan rentas sempadan tidak sepatutnya dijadikan jalan pintas menghalalkan hubungan, sebaliknya ia memberi banyak keburukan terutama kepada kaum wanita.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, pernikahan rakyat Malaysia yang dilaksanakan di luar negara bukan jalan mudah sebaliknya dilabelkan sebagai langkah ‘cari pasal’.

Menurutnya, peningkatan 73 kes pada 2001 kepada 4,178 kes pada 2016 seolah-olah menjadikan perkahwinan rentas sempadan sebagai jalan pintas untuk berkahwin tanpa perlu melalui prosedur ditetapkan pihak berkuasa agama negara.

“Jangan cari pasal kerana ia akan menimbulkan banyak masalah antaranya mengganggu proses pendaftaran anak dan pengabaian hak boleh berlaku.

“Ada kemungkinan perkahwinan ini tidak sah, sekali gus beri tekanan emosi serta pandangan negatif masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Wacana Perkahwinan Rentas Sempadan: Isu dan penjelasan dari sudut hukum syarak, perundangan dan penguatkuasaan undang-undang di Malaysia di Park Avenue, di sini.

Antara yang hadir membentangkan kertas kerja termasuk Dr Abdulroya Benseng dari Prince of Naradhiwas University, Prof Madya Dr Maroning Salaming dari Prince of Songkla Universiti dan Felo Fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Lokmanulhakim Hussain.

Menurut beliau, dari maklumat diperolehi, dianggarkan dalam tempoh setahun, seramai 10,000 pasangan dari Malaysia membuat permohonan berkahwin rentas sempadan.

“Faktor utama ialah poligami. Kadang-kadang lelaki tak mahu isteri pertama tahu maka dipujuk bakal isteri untuk kahwin di luar negara,” katanya.

Menurutnya, walaupun perkahwinan berlaku secara sah tetapi apabila tidak didaftarkan di Malaysia, pasangan itu telah melanggar undang-undang negara sekiranya tinggal bersama.

“Jika tak daftar tak boleh duduk sekali, ia sudah dikira khalwat, kemudian jika ada anak, tidak boleh didaftarkan sebab tak ada surat nikah.

“Anak pula bermasalah nak nak masuk sekolah sebab tiada sijil kelahiran. Sekiranya berlaku perceraian atau kematian, isteri tak dapat tuntut harta sepencarian,” katanya.

Menurutnya, stigma masyarakat tentang perkahwinan sempadan adalah jalan mudah untuk berkahwin perlu diubah.

“Anggapan mudah akan berubah kepada maksud derita kepada pasangan terlibat apabila pengurusan perkahwinan, perceraian dan rujuk di sempadan tidak diuruskan mengikut peruntukan undang-undang negara.

“Kegagalan untuk mengesahkan dan mendaftarkan perkahwinan, perceraian dan rujuk di jabatan agama Islam negeri akan mengakibatkan masalah kepada pasangan,” katanya.

Katanya, antara faktor pernikahan di Selatan Thailand termasuk tidak mendapat keizinan ibu bapa, penjaga, perkahwinan bawah umur, wali tidak dapat dikesan atau perkahwinan melibatkan pasangan yang tiada wali nasab, tidak mendapat kebenaran ketua jabatan bagi beruniform serta poligami. – Sinar Harian

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *