Kuala Terengganu: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyarankan badan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini untuk memainkan peranan dalam usaha menangani sentimen keagamaan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Zamri Zainal Abidin berkata, pihaknya tidak mahu terikut-ikut dengan sentimen atau berita-berita yang ditimbulkan oleh sebelah pihak semata-mata.
Menurutnya, pihaknya sentiasa meletakkan peranan bahawa mereka yang sentiasa akan menang, betul dan benar akan mendapat tempat di hati masyarakat.
“Peranan NGO Islam perlu bertanggungjawab untuk menyebarkan Islam yang benar kepada umum dari pelbagai bangsa dan agama.
“Kita mahukan supaya orang bukan Islam melihat Islam ini dari wajah Islam dan fakta yang sebenarnya.
“Jangan melihat Islam sentimen tidak baik atau sangkaan tidak baik dan yang pasti kebenaran menjadi roh perjuangan Yadim dalam masyarakat majmuk,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Terbuka NGO Islam Terengganu, di sini, pada 21 Mei.
Pada majlis itu, seramai 200 orang membabitkan 60 NGO seluruh Terengganu hadir.
Katanya, usaha menangani perkara itu adalah tanggungjawab bersama dan semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing.
“Kita juga bertanggungjawab untuk mengharmonikan perpaduan dalam kalangan umat Islam dengan bukan Islam,” katanya. – Harian Metro
KOMEN