Home » Citra Yadim » YADIM seru NGO sertai MAIM, tumpu usaha angkat Islam

YADIM seru NGO sertai MAIM, tumpu usaha angkat Islam

IPOH – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia menyeru agar badan bukan kerajaan (NGO) Islam memanfaatkan platform Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) yang disediakan oleh badan ini sebagai wadah penyelarasan gerak kerja mereka di seluruh negara.

Pada masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh turut menyarankan agar NGO-NGO tersebut memfokuskan kepada agenda besar untuk mengangkat imej Islam berbanding terlalu menumpukan kepada perbezaan antara setiap NGO.

“Hari ini NGO Islam tidak boleh lagi terlalu hendak menegakkan bendera masing masing masing, sebaliknya perlu bekerjasama, kerana kita tidak boleh lagi bersaing sesama sendiri.

‘Mentaliti work in silo ini hendaklah ditolak jika mahu melihat NGO Islam terus relevan terhadap masyarakat,” tegasnya.

Tuan Kamarul Arief berkata demikian ketika berucap sebagai pembentang utama dengan tajuk ‘Peranan NGO Dalam Dakwah Di Era Malaysia Baharu’ dalam Kolokium Kelangsungan Dakwah dan Memperkasa Islam di Negeri Perak, yang diadakan di Institut Tadbiran Islam Perak di sini hari ini (5 Oktober).

Selain YADIM, NGO Islam lain yang turut hadir termasuklah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Hidayah Centre Foundation, Angkatan Belia Islam Malaysia dan Persatuan Ulama Malaysia.

Dalam pada itu Tuan Kamarul Arief juga berkata, NGO Islam di negara ini juga perlu untuk menyeimbangkan aktiviti operasi dan advokasi mereka ketika menjalankan aktiviti masing masing.

Ujar beliau, usaha menyeimbangkan keduanya adalah bagi memastikan objektif penubuhan dan sasaran gerak kerja mereka tercapai.

“Sebaiknya gerak kerja untuk kedua ini ditumpukan, tidak boleh cenderung kepada satu bahagian sahaja.

“Hari ini ada NGO Islam yang terlalu menumpukan pada operasi sahaja, turun ke lapangan, sungguh sungguh berdakwah, beri bantuan, jumpa terus dengan golongan sasar, tapi tidak buat advokasi (penerangan, pemasaran atau kempen), maka semua aktiviti turun padang itu masyarakat tidak tahu.

“Ada pula yang terlalu cenderung beri penerangan, buat pungutan suara, demonstrasi dan bengkel sahaja, tetapi kurang turun padang, ini juga tidak berhasil,”

Dalam pada itu, Tuan Kamarul Arief turut menekankan betapa NGO Islam hari ini mempunyai pengaruh yang cukup signifikan dalam menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah dasar kerajaan apabila ia mempunyai sehingga 25 peratus pengaruh terhadapnya.

Katanya lagi, dasar baharu diperkenalkan kerajaan juga boleh berdepan kegagalan sekiranya ia hanya menjadi slogan dan tidak diisi secara konstruktif serta didukung semua pihak termasuk NGO.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid yang turut hadir ke kolokium ini, turut bersetuju dengan pembentangan Tuan Kamarul Arief berhubung jalinan kerjasama antara NGO Islam.

Menurut beliau, terdapat ribuan NGO Islam di negara ini namun yang benar benar aktif hanya kira kira 50.

Azmi menambah,  keadaan ketika ini memerlukan kepada satu gerak kerja yang benar benar menyumbang kepada dakwah, dan ini sewajarnya dimulakan di kawasan kariah masjid masing masing terlebih dahulu.

Sementara itu, saranan dan pembentangan YADIM telah diambil sebagai resolusi bagi kolokium ini.

 

 

 

 

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *