PETALING JAYA 15 Feb – Sebuah badan bukan kerajaan yang membawa isu transgender bermesyuarat dengan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr. Zulkifli Mohammad al-Bakri bagi membincangkan langkah membantu komuniti itu melalui penyelidikan dan penerbitan yang mengalakkan kefahaman dan menghapus diskriminasi.
Pertubuhan Kesihatan dan Kebajikan Malaysia (PKKUM) berkata pertemuan 2 jam 15 aktivis transgender dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) semalam mengukuhkan hubungan antara komuniti transgender dan pihak berkuasa agama sejak Dr. Zulkifli mahu bekerjasama membantu komuniti itu.
Pengasas PPUKM Elisha Kor Krishnan berkata mesyuarat itu membincangkan keperluan mengalakkan kajian Al-Quran dan hadis agar masyarakat celik isu transgender.
“PKKUM sedang berusaha untuk menghapuskan stigma dan diskriminasi terhadap individu transgender,” kata Elisha, yang juga seorang aktivis transgender.
Elisha berkata pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1982 yang melarang pembedahan menukar jantina menyebabkan golongan transgender tidak dapat menyelesaikan identiti mereka.
“Fatwa ini bukan sahaja mempengaruhi orang transgender Islam tetapi juga transgender bukan Islam,” katanya.
Dr. Zulkifli antara tokoh agama yang ke depan mendekati komuniti transgender. Pada Disember lepas beliau bertemu sendiri orang-orang transgender di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur, dan pada Jun bertemu Persatuan Kebajikan Komuniti Ikhlas Malaysia yang membantu golongan transgender, pengguna dadah, pekerja seks dan bekas bantuan.
“Alhamdulillah, menerima kunjungan balas komuniti transgender daripada PKKUM. Terharu dengan semangat yang ditunjukkan untuk hadir,” kata Dr. Zulkifli di Twitter.
“Mohon maaf atas jamuan yang tidak seberapa. PMWP komited utk menekuni isu-isu berkaitan berlandaskan neraca sains dan agama nanti,” tambahnya.
Sementara itu, Elisha memberitahu FMT pihaknya merancang untuk membentuk satu kumpulan sokongan yang akan membantu orang transgender mengakses keperluan asas agar mereka tidak terpaksa meninggalkan Islam dan negara untuk mendapatkan perlindungan.
“Bantuan profesional dari kedua-dua bidang perubatan dan keagamaan, mereka akan dapat memberikan penyelesaian untuk menamatkan stigma dan diskriminasi terhadap orang transgender,” katanya. – FMT
KOMEN