KUALA LUMPUR – Baru-baru ini kerajaan Terengganu menyampaikan hasratnya untuk melaksanakan konsep pemakaian patuh syariah bagi atlet sukan negeri itu bermula tahun depan.
Cadangan tersebut mendapat pelbagai reaksi netizen sehingga ia menjadi antara berita yang diviralkan di laman sosial.
Menurut laporan FMT, kenyataan itu dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Beliau mencadangkan pemain bola sepak beragama Islam yang bernaung di bawah Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dikehendaki berpakaian menutup aurat atau patuh syariah ketika beraksi dalam sebarang kejohanan, termasuk di dalam dan luar negeri pada musim depan.
Namun, untuk atlet bukan Islam tidak ada paksaan dan terpulang kepada mereka untuk pakai mengikut keselesaan mereka, tetapi kita galakkan mereka mengikuti pakaian yang patuh syariah.
Bagaimanapun perkara itu menjadi debat dalam kalangan netizen yang sama ada sekadar mahu menyatakan pandangan atau salah tafsir berita tersebut.
Netizen, termasuk yang bukan beragama Islam, turut tampil memperjelaskan laporan tersebut dengan berkongsi agar tidak bertekak sebaliknya menghormati agama masing-masing.
“Saudara, ia hanya untuk atlet Muslim di Terengganu. Jangan komen bukan-bukan kalau mahu kekal mendukung harmoni. Sebarang kritikan, biarkan kepada pemain Terengganu sendiri untuk uruskan,” kata seorang pengguna.
“Kenapa anda kena persoal perkara ini secara negatif di laman sosial? Kalau ada soalan, dekati rakan Melayu, saya pasti mereka sedia beri penerangan. Jangan jadikan ini isu perkauman.
“Kita tidak suka apabila orang lain mempersoal cara kita beragama, jadi tolong jangan lakukan pada agama orang lain,” jelas seorang lagi pengguna bukan Islam. – FreeMalaysiaToday
KOMEN