Home » Langit Terbuka » Netanyahu kecewa India enggan iktiraf Baitulmuqaddis

Netanyahu kecewa India enggan iktiraf Baitulmuqaddis

BENJAMIN NETANYAHU (kiri) dan Narendra Modi . Foto : independent.co.uk

NEW DELHI 15 Jan. – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu hari ini melahirkan kekecewaan terhadap India apabila negara itu enggan mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Bagaimanapun, Netanyahu memberi jaminan bahawa perkara itu tidak akan menjejaskan kunjungannya ke India ketika ini.

“Secara jujurnya, saya kecewa dengan keputusan India untuk tidak iktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, namun saya percaya kunjungan ini membuktikan bahawa hubungan kedua-dua negara semakin kukuh dan maju ke hadapan,” katanya.

India bersama lebih 100 negara lain mengecam tindakan Washington yang mengiktiraf Baitulmuqaddis di Palestin sebagai ibu negara Israel.

Selain itu, India juga membatalkan perjanjian senjata nuklear de­ngan negara tersebut yang bernilai AS$500 juta (RM1.97 bilion).

Israel mengeksport kira-kira AS$1 bilion (RM3.9 bilion) peralatan ketenteraan setiap tahun ke negara ini, namun Perdan Menteri India, Narendra Modi tidak mahu negara ini terus menjadi pengimport produk pertahanan paling tinggi di dunia.

Berhubung keputusan tersebut, Netanyahu yang merupakan Perdana Menteri Israel pertama yang melawat India dalam tempoh 15 tahun lalu berharap kunjungan ketika ini dapat membantu menyelesaikan isu perjanjian ber­kenaan.

Dalam perkembangan lain, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyelar usaha damai yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebagai satu ‘tamparan abad ini’.

Menerusi ucapannya, Mah­moud menegaskan bahawa beliau tidak akan menerima pentadbiran Trump sebagai orang tengah dalam rundingan damai dengan Israel.

“Kami mengatakan ‘tidak’ kepada Trump dan kami tidak akan menerima sebarang tindakan serta keputusan dari anda.

“Perjanjian damai yang dilakukan itu ibarat ‘tamparan abad ini’ dan kami tidak menerimanya,” ujarnya.

Sementara itu, seorang anggota pergerakan Hamas cedera dalam satu insiden bom kereta yang berlaku di bandar Sidon di selatan Lebanon.

Menerusi satu kenyataan, cawangan Hamas di negara itu mengenal pasti mangsa sebagai Mohammed Hamdan.

Jelas kenyataan itu, insiden tersebut menyebabkan kaki mang­sa cedera dan keretanya musnah serta siasatan awal mendapati kejadian itu merupakan angkara rejim Zionis.

Sumber ketenteraan memaklumkan bom seberat 500 gram di­letakkan dalam kenderaan mang­sa sebelum ia diletupkan. – AFP

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *