Home » Langit Terbuka » Negara lain tidak perlu gusar permintaan ekstradisi etnik Uighur – TPM

Negara lain tidak perlu gusar permintaan ekstradisi etnik Uighur – TPM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

BATU PAHAT 10 Feb. –  Mana-mana negara tidak perlu gusar terhadap Malaysia yang menerima permintaan rasmi daripada China untuk mengekstradisi 11 etnik Uighur Islam yang dilaporkan ditahan di negara ini selepas melarikan diri dari penjara Thailand, tahun lepas, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Malaysia sedang mempertimbangkan permintaan China itu, namun siasatan terperinci sedang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika ada dalam kalangan 11 individu itu terlibat dalam keganasan.

“Kita telah memperolehi permintaan rasmi daripada China untuk 11 orang Uighur yang telah ditangkap di Thailand yang masuk negara itu daripada wilayah Yunan terutama yang datang dari Urumqi dan beberapa wilayah lain di China (yang dilaporkan telah ditahan di Malaysia).

“Prinsip kita ialah kalau sesebuah negara memohon supaya rakyat mereka diekstradisi, kami (akan buat) keputusan berdasarkan perjanjian ekstradisi yang termaktub di dalam Bantuan Perundangan Bersama (MLA),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Bersama Kepimpinan Negara Sempena Minggu Haluan Siswa Pelajar Baharu Program Sarjana Muda di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini, hari ini.

Turut hadir isteri timbalan perdana menteri Datin Seri Hamidah Khamis, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Naib Canselor UTHM Prof Dr Wahid Razzaly.

Ahmad Zahid berkata oleh kerana Malaysia mempunyai MLA dan perjanjian ekstradisi dengan pihak China, maka perjanjian-perjanjian tersebut perlu dihormati.

Beliau berkata Malaysia sebelum ini juga mengemukakan permohonan ekstradisi apabila ada rakyat negara ini yang ditahan di China kerana terlibat pemalsuan kad kredit dan beberapa jenayah lain, untuk dibawa ke Malaysia untuk dihukum atau didakwa.

Katanya, oleh itu Malaysia memberi pertimbangan terhadap permintaan China tersebut dan tentunya mana-mana negara tidak perlu khuatir terhadap tindakan dilakukan Malaysia.

Semalam, Reuters yang memetik sumber melaporkan 11 etnik Uighur ditahan di utara Malaysia dan China sedang berbincang dengan kerajaan Malaysia berhubung pengusiran mereka.

Laporan itu mendakwa Malaysia berada dalam keadaan ditekan hebat oleh China untuk menyerahkan mereka ke negara itu, bukannya ke Thailand. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *