Home » Analitis » Negara hadapi masalah lebih kronik dari Covid-19

Negara hadapi masalah lebih kronik dari Covid-19

MALAYSIA yang agama Persekutuannya adalah Islam sebenarnya sedang hadapi masalah yang lebih dahsyat daripada pandemik Covid-19, iaitu umat Islamnya tidak sempurna dalam mendirikan solat lima waktu.

Namun apa yang menjadi masalahnya, pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Fadzilah Kamsah dengan nada sedih berkata, keadaan darurat yang lebih kronik daripada darurat Covid-19 itu seolah-olah seperti tiada sesiapa yang mengambil berat tentangnya.

“Amat sedih. Saya buat kajian sekitar 90-an lalu, hanya sekitar 20 peratus umat Islam negara ini yang sempurna solat lima waktunya. Ada yang dua kali setahun sahaja solat, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

“Kira-kira 10 tahun lalu ada lagi kajian sama dibuat oleh pihak lain dan dapatannya pun lebih kurang sama, cuma naik sekitar 3 peratus sahaja. Allahuakbar tiada yang anggapnya kronik.

“Ramai terlupa hakikat bahawa kita semua adalah hamba Allah, bila statusnya hamba kenalah taat kepada suruhan Pencipta. Solat yang juga tiang agama adalah benteng untuk membezakan antara Islam dan kafir. Ramai tahu perkara ini tapi buat-buat tak tahu. Bila tak jaga solat semua masalah, musibah mudah hinggap,” katanya.

Beliau yang turut mesra dengan panggilan Tok Abah menyatakan demikian ketika menjadi ahli panel dalam program live streaming Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Mutiara Minda bertajuk: “Adiwira Pendidikan” yang dikendalikan oleh Ustaz Arif Adzwan Mohd. Ali dari Bahagian Khidmat Bakti YADIM sebagai moderator.

Ditanya kenapa pada masa sekarang penduduk negara ini ramai menghadapi masalah ‘burn out’. Tok Abah berkata: “Semuanya berlaku sebab diri kita yang sekarang. Bila jadi orang ‘baru’ yang kembali kepada Allah, semua masalah itu tiada lagi.

“Bagaimana proses untuk menjadi baru? Kenalah akui kesalahan, buat solat taubat dan mohon keampunan daripada Allah (istighfar),” katanya.

Dalam pada itu ketika diminta mengulas mengenai norma baharu pembelajaran dalam talian atau Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) yang menjadi polemik dalam kalangan masyarakat negara ini.

Fadzilah: Semuanya ada hikmah, ia bukan berlaku dengan sia-sia. Kena terus pandang ke depan, jadikannya sebagai inspirasi untuk maju ke depan. Jangan bila pandemik ini berakhir, maka kita bakal kembali kepada norma lama atau berundur ke belakang.

Semua kena ingat bahawa Allah menguji hamba-Nya setakat kemampuan kita. Semasa norma lama, kita kena buat sebaik mungkin dan lepas tu bertawakal kepada Allah.
Tetapi dalam norma baharu, pendekatan itu tidak mencukupi. Kita kena bertindak ‘sewajarnya’ demi untuk meraih kejayaan.

YADIM: Bagaimana?

Fadzilah: Sewajarnya bermaksud semua pihak kena mainkan peranan masing-masing sebaik mungkin. Semasa PdPR barulah kita insaf betapa hebatnya peranan guru dalam mendidik anak-anak kita.

Ini kerana apabila ibu dan ayah bertukar peranan menjadi guru barulah diketahui betapa sukar dan peritnya tugas seorang guru. Ibu bapa mengajar anak sendiri pun sudah pening, sedangkan guru mengajar berpuluh-puluh anak orang lain! Hikmahnya:

1. Ibu bapa jadi peka betapa hebatnya peranan guru untuk memandaikan anak-anak kita.
2. Allah suruh kembali kepada perkara asas, nak bina bangunan kukuh kena kuat asasnya dan ia situasi paling kritikal.

Kajian saya kira-kira 5 tahun lalu, iaitu 5,000 orang yang ditemukan setiap tahun dengan bertanyakan soalan asas, iaitu:

1. Berapa ramai ibu bapa yang doakan guru-guru anak mereka, hanya 3 peratus sahaja.
2. Berapa ramai guru yang doakan ibu bapa anak murid, antara 3 – 5 peratus sahaja.

Hasil kajian mendapati apabila ibu bapa dan guru sepakat dan main peranan masing-masing, maka prestasi akademik dan kokurikulum bakal naik serta pada masa sama masalah disiplin akan menurun.

YADIM: Apakah tindakan selanjutnya yang sewajarnya dilakukan?

Fadzilah: Mereka yang telah berdoa teruskan usaha murni itu. Bagi yang belum lakukannya, inilah masa terbaik untuk mulakannya. Insya-Allah jika semua pakat lakukannya, anak-anak kita bakal dapat keberkatan ilmu.

Jangan pandang rendah, keberkatan ilmu sebenarnya amat penting. Masa kita sebenarnya amat terhad, jadi bila ada keberkatan semuanya akan menjadi lancar

YADIM: Boleh Tok Abah kongsikan panduan untuk anak-anak yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)?

Fadzilah: Untuk anak-anak, selalulah panjatkan doa kepada Allah, doakan kesejahteraan ibu bapa, guru untuk dapatkan keberkatan ilmu dan doakan juga kawan-kawan yang sedang duduki SPM.

Ramai terlupa, Nabi Muhammad SAW berpesan jika kita doakan kawan-kawan dalam keadaan mereka tiada atau tidak tahu, malaikat akan aminkan doa kita dan Insya-Allah doa yang baik-baik itu bakal kembali kepada kita semula.

Sebelum menjawab soalan, bacalah al-Fatihah dan Surah al-Insyirah agar mampu jawab dengan dengan tenang dan lapang hati.

Kepada ibu bapa: Kekal tenang, banyakkan berzikir dan beristighfar serta berdoa. Insya-Allah aura baik itu akan diserap oleh anak-anak. Ibu bapa kena positif bahawa anak masing-masing mampu melakukan yang terbaik. Doa ibu bapa adalah asbab keberkatan.

Semua manusia diciptakan dalam keadaan terbaik, jadi tiada alasan untuk ibu bapa menidakkan potensi mereka.

Ahmad Tarmizi Abdul Rahim ialah mantan Pengarang Meja Agama Utusan Malaysia. Berpengalaman luas dalam kewartawanan dan penulisan, beliau kini menulis di pelbagai platform.

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *