MALAYSIAN Humanitarian Aid And Relief (Mahar) dan MYCorps Misi Afrika (MYCorps Afrika) melancarkan kempen 1,000 naskhah al-Quran di media sosial masing-masing setelah mendapati hampir 400 murid di Madrasah Irshad, Kwale, Kenya berkongsi hanya satu mushaf dalam usaha mereka menghafaz ayat-ayat suci kitab tersebut.
Di atas keprihatinan rakyat Malaysia, lebih RM40,000 dapat dikumpulkan dan dengan jumlah tersebut lebih 4,000 naskhah al-Quran dapat dibeli.
Pengerusi Mahar, Jismi Johari berkata, biarpun mulanya hanya bercadang membantu madrasah tersebut, namun bila dimaklumkan banyak lagi madrasah, pusat pembelajaran dan masjid di sana memerlukan kitab suci ini, Mahar membuka peluang rakyat Malaysia yang ingin menyumbang.
“Selepas ini, Mahar akan lancarkan Kempen 10,000 al-Quran, selama setahun. Al-Quran dibeli menerusi inisiatif ini akan dihantar pada umat Islam di negara-negara dunia ketiga dan yang memerlukan di seluruh dunia,” ujarnya.
Jismi bersama Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Datuk Hatipah Ibrahim dan Pengarah Pusat Belia Antarabangsa, Dr Mohamad Maliki Mohamed Rapie turut melawat dan menyumbangkan al-Quran sumbangan rakyat Malaysia ketika mereka berada di negara Afrika tersebut dalam rangka lawatan MYCorps Misi Afrika, baru-baru ini.
Tenaga pengajar di Madrasah Irshad, Hassan Ali Mwayoy menyifatkan dengan pemberian itu pelajar akan lebih mudah belajar dan menghafaz ayat-ayat suci al-Quran berbanding sebelumnya terpaksa berkongsi senaskhah al-Quran dalam kalangan hampir 400 pelajar.
Menurutnya, pihaknya amat bersyukur pemberian rakyat Malaysia yang prihatin keadaan dan memahami kedaifan mereka.
Madrasah Irshad di Kwale bukan satu-satunya sekolah agama mendapat manfaat dari kempen tersebut, malah beberapa lagi sekolah dan institusi agama di kawasan persekitaran menerima faedah sama.
Masjid Kunda, Masjid Ngombeni, Madrasah Tiwi, Nur Huda Madrasah Kinango, Tawheed Islamic Centre, Anwar Muslim Academy, Masjid Kiteje, Madrasah Kiteje dan Masjid Nzora di Kwale antara menerima al-Quran sumbangan rakyat kita.
Selain di Kenya, penerima di negara lain seperti di Zanzibar dan Tanga, Tanzania; Uganda dan Turkana turut bersyukur sumbangan kitab suci tersebut. – SINAR HARIAN
KOMEN