Home » Langit Terbuka » Negara dalam keadaan simpang siur hadapi ‘assabiyah’ dan Islamofobia – PM

Negara dalam keadaan simpang siur hadapi ‘assabiyah’ dan Islamofobia – PM

Anwar bersama Ahmad Zahid hadir pada program Himpunan 24K Huffaz Malaysia di Masjid Wilayah Persekutuan. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui negara kini berada dalam keadaan ‘simpang siur’ kerana wujudnya dua pihak yang mempunyai fahaman berbeza terhadap Islam.

Perdana Menteri berkata, kerajaan berdepan cabaran bagi menghadapi kelompok ‘assabiyah’ dalam Islam dengan menganggap pihak lain adalah sesat dan zalim, selain mereka yang bersifat Islamofobia.

Atas dasar itu, beliau mahu pelajar huffaz di negara ini supaya menguasai Islam dengan sebenarnya bagi menyelamatkan negara dengan menyampaikan mesej yang jelas mengenai agama.

“Negara ini dalam simpang siur di satu pihak sebaik sahaja disebut Islam terus melenting, bila saya sebut JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) harus menasihati kerajaan dalam semua bidang, ada yang melenting bahawa ada usaha menghasut dalam program Islam.

“Mana salahnya, bukan suruh buat zalim, kita suruh tegakkan keadilan kita faham hak bukan Islam dan menghormati mereka.

“Kita faham semangat tapi jangan bawa pandangan barat Islamofobia, bila sebut Islam macam ISIS (Negara Islam Iraq dan Syria) dan Al-Qaeda,” katanya ketika berucap dalam Majlis Himpunan 24,000 Huffaz di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Pada majlis yang dianjurkan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA Kebangsaan), pejabat Timbalan Perdana Menteri dan JAKIM dengan kerjasama Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara itu, turut diadakan ialah bacaan al-Quran beramai-ramai, penganugerahan huffaz cemerlang dan ceramah perdana.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut membidas pihak ‘assabiyah’ ini yang sentiasa melihat kerajaan adalah jahat dan zalim.

Beliau mempersoalkan sama ada wujudnya program peningkatan mutu Islam melalui Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ketika pentadbiran golongan ‘assabiyah’ itu.

“Di satu pihak lain bawa Islam penuh kebencian… semua jahat… kalau kerajaan jahat, semua tak ada kebaikan yang kabilah jenis assabiyah merosakkan sendi ini.

“Namun adakah usaha (ketika mereka tadbir) menyekat syarikat Israel yang berniaga di Malaysia… kenapa tidak ditanya mereka sedangkan jemaah Menteri 2023, semua kapal dari Israel diharamkan pelabuhannya di Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri berkata, menjadi hasrat kerajaan untuk meningkatkan taraf huffaz di negara ini melalui TVET supaya mereka tidak ketinggalan dalam landas ekonomi dan pekerjaan.

“Ini hasrat kerajaan Madani yang kita usahakan walaupun dalam keadaan keterbatasan, supaya anak-anak jangan putus berdoa untuk meletakkan negara dalam landasan yang baik, ekonomi meningkat, ringgit kuat, pelaburan datang supaya boleh memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat termasuk huffaz,” katanya.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *