Home » Langit Terbuka » Neelofa, tetamu pelancaran tudung, langgar Akta Jenayah Syariah

Neelofa, tetamu pelancaran tudung, langgar Akta Jenayah Syariah

Majlis pelancaran tudung Naelofar Hijab yang diadakan di sebuah pusat hiburan pada Isnin lalu. Foto : Berita Harian

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara popular, Neelofa bersama penganjur dan tetamu pelancaran tudung, yang diadakan dalam sebuah kelab malam pada Isnin lalu, boleh didakwa mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997).

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata Neelofa dan mereka yang terbabit dalam majlis itu boleh didakwa mengikut Seksyen 7 akta itu.

“Dia dan mereka yang lain, boleh didakwa kerana menyebabkan agama Islam dipandang hina. Bukan sahaja Neelofa tetapi mereka yang terbabit di dalam majlis itu kerana menampakkan seolah-olah agama Islam dipandang hina apabila melancarkan simbol kepada penganut agama Islam (bertudung) dengan acara tarian dan berdansa dalam keadaan bertudung.

“Perkara yang baik dan kewajipan dalam agama tetapi dibawa masuk ke tempat yang berunsur maksiat,” katanya yang mengulas berhubung kontroversi majlis pelancaran koleksi terbaharu Naelofar Hijab yang diadakan di sebuah pusat hiburan terkenal pada Isnin lalu.

Bagaimanapun, Musa berkata, Seksyen 7(a) meletakkan beban pembuktian yang kuat kepada pihak pendakwaan kerana peruntukkan itu terlalu subjektif, dan perlu dibuktikan sejauh mana perlakuan Neelofa atau penganjur itu dikatakan sebagai menghina agama Islam.

“Pada pandangan peribadi saya, pendakwaan terhadap Neelofa akan mengeruhkan lagi keadaan. Penganjur sudah membuat permohonan maaf secara terbuka, malah Neelofa juga sudah buat perkara yang sama.

“Kecaman yang diterima daripada masyarakat sepatutnya dijadikan pengajaran kepada Neelofa dn pihak lain yang bercadang mahu membuat perkara yang sama selepas ini.

“Alhamdulillah masyarakat kita masih prihatin dan masih tahu membezakan mana yang baik dan mana yg buruk,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Mengikut Seksyen 7, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997), mana-mana orang secara lisan, bertulis atau dengan gambaran yang tampak atau sebarang cara lain menghina agama Islam atau menyebabkan ia dipandang hina; mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam; adalah melakukan kesalahan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *