Home » Wacana » Nasihat ulama membimbing pemimpin

Nasihat ulama membimbing pemimpin

sumber

Kembalinya ulama kontemporari kelahiran Syria, Prof. Dr Wahbah Mustafa al-Zuhaili ke rahmatullah pada 24 Syawal 1436H/8 Ogos 2015 lalu memberikan kesan yang mendalam terhadap dunia Islam umumnya, dan dunia keilmuan khususnya. Ribuan muridnya, sama ada yang berguru secara langsung dengan beliau atau menerima ilmu menerusi penulisan-penulisan besarnya menangisi pemergiannya.  Hal ini terutamanya disebabkan peringatan yang diberikan oleh Nabi SAW melalui hadis Baginda yang bermaksud, “Allah tidak akan mencabut ilmu dengan mencabut atau menanggalkannya daripada manusia, tetapi Allah mencabut ilmu dengan mematikan ulama. Sehingga apabila tiada lagi orang berilmu yang tinggal, maka manusia umumnya akan memilih ketua (pemimpin) yang jahil.  Manusia (orang awam) akan bertanya kepada pemimpin mereka itu (pelbagai persoalan), lalu mereka memberikan pandangan tanpa berpandukan ilmu.  Justeru, mereka menjadi sesat dan menyesatkan (pula). (Muslim)”

Kehidupan akhir zaman yang diselubungi kefasadan, kebejatan akhlak, kesesatan, pergolakan, dan perpecahan dalam kalangan ummah amat memerlukan nasihat dan bimbingan daripada ulama yang merupakan pewaris keilmuan para Nabi.  Ulama sejati dan yang benar akan memberikan nasihat dan panduan yang berguna kepada ummah.  Seluruh ummah, terutama pemimpin dan segenap lapisan rakyat tidak akan dibiarkan berada dalam kemungkaran sehingga akhirnya terjerumus dalam kebinasaan.  Ulama sejati lagi benar tidak berasa takut dan gentar kepada sesiapa pun.  Mereka sebaliknya hanya takut akan Allah SWT.  Oleh yang demikian, kebenaran akan ditegakkan meskipun terpaksa mengorbankan segala-galanya, termasuk kepentingan diri.  Sebagaimana dinyatakan oleh Nabi SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim itu, apabila ummah mengalami kehilangan besar ulama sejati sehingga tiada seorang pun yang tinggal untuk membimbing mereka, maka akhirnya orang yang jahil dijadikan rujukan.  Jika ulama (sejati) memberikan nasihat dan panduan kepada ummah berasaskan ilmu yang dimiliki, maka golongan jahil pula sebaliknya berbuat demikian menurut dorongan nafsu.  Ulama (sejati) juga benar-benar memuliakan ilmu dan menganggapnya sebagai sesuatu yang amat berat.  Mereka sekali-kali tidak akan mempermudahkannya.  Sebagai contoh, Imam Malik rahimahullah yang dikemukakan sekitar empat puluh lapan (48) persoalan yang menuntut fatwa beliau, hanya menjawab enam belas (16) daripadanya sahaja.  Selebihnya tidak dijawab oleh beliau kerana tidak mengetahuinya.  Pernah dalam satu peristiwa beliau ditanya tentang satu persoalan.  Beliau lantas mengatakan bahawa beliau tidak mengetahuinya.  Mendengar jawapannya itu, seseorang terus mengatakan kepadanya, “Ia hanyalah persoalan yang mudah.”  Imam Malik rahimahullah menjadi marah dan mengatakan, “Tiada yang ringan dan mudah dalam urusan ilmu pengetahuan!”

Bagi golongan yang jahil pula, ilmu tidaklah begitu diberatkan.  Justeru, mereka mudah sahaja memberikan jawapan atau pandangan apabila diminta berbuat demikian.  Hal ini disebabkan nafsu mereka mendorong mereka untuk misalnya meraih pengiktirafan manusia dan bukannya keredaan Allah SWT.  Nafsu sentiasa mengingatkan mereka bahawa mereka perlu sentiasa kelihatan bijaksana dan mengetahui segala-galanya.  Daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besarnya.  Demikianlah akhirnya mereka menjadi golongan yang sesat disebabkan nafsu mereka sendiri.  Lebih malang lagi, golongan jahil yang dijadikan pemimpin itu menyesatkan pula rakyat atau kumpulan yang bergantung pada kepemimpinan mereka.

Ternyata daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim tersebut gesaan atau galakan untuk memelihara ilmu serta tradisi keilmuan selain menjadikan ulama sejati lagi benar sebagai rujukan. Pada hakikatnya, kelangsungan ummah terletak pada keupayaan mereka memelihara ilmu dan tradisi keilmuan serta memartabatkan kedudukan ulama. Sehubungan itu, kita dapat melihat bagaimana dalam catatan sejarah Islam silam, termasuk di nusantara, pemerintah dan ulama saling memainkan peranan penting mereka demi kepentingan agama dan ummah. Pemerintah mendampingi ulama dan menjadikan mereka sebagai penasihat. Pendapat ulama yang dihormati pemimpin itu begitu dipentingkan.  Nasihat yang diberikan tidak sama sekali dianggap mencalar atau mencabar kedudukan tinggi sebagai pemerintah.  Malah ia amat bermanfaat untuk melaksanakan sesuatu dasar dan urusan pemerintahan umumnya.  Perkara ini misalnya dapat dilihat pada penulisan kitab al-Kharaj oleh Imam Abu Yusuf atau nama sebenarnya, Yaqub ibn Ibrahim al-Ansari.  Kitab tersebut bukan sahaja mengandungi penjelasan penting tentang percukaian dan fiskal tetapi turut mengandungi huraian tentang persoalan semasa yang dihadapi negara Iraq ketika itu seperti hak-hak banduan, murtad dan sebagainya.  Kitab agung karangan Imam Abu Yusuf itu menghimpunkan jawapan yang diberikan beliau bagi persoalan yang dikemukakan melalui surat yang diutus oleh pemerintah, Khalifah Harun al-Rasyid kepada beliau sebagai ketua kadi.

Sejarah gemilang yang tercatat itu wajarlah diteladani.  Apatah lagi dalam situasi yang membelenggu kita ketika ini. Antaranya termasuklah kehilangan minat terhadap ilmu dan budaya keilmuan dalam kalangan rakyatnya, khususnya golongan muda.  Bencana kelesuan budaya ilmu seperti kecenderungan terhadap bahan-bahan bacaan yang tidak berkualiti dan kecenderungan berlebihan terhadap perkara-perkara lain seperti hiburan dan permainan yang melekakan perlu ditangani segera oleh pemimpin dan ulama negara ini.  Demikian juga dengan perkara-perkara besar lain yang sedang hebat menguji kita saat ini. Gemblengan usaha yang tulus antara pemimpin dan ulama pasti akan membuahkan hasil yang diharapkan, meskipun perlu menghadapi ujian dan cabaran getir tertentu.  Ulama yang menyedari bahawa nasihat merupakan teras bagi agama akan melaksanakan peranan mereka sebagai penasihat utama bagi pemimpin.

Keberanian dan ketegasan mereka berhubung perkara-perkara dasar dalam agama, termasuk ilmu dan pendidikan serta kejujuran dan kebertanggungjawaban, pasti mengundang rasa hormat dalam kalangan rakyat bahkan juga pemimpin.  Pemimpin yang dipimpin jiwa mereka oleh ulama akan menyedari bahawa nasihat dan teguran sentiasa diperlukan oleh mereka dari semasa ke semasa.  Hal yang demikian disebabkan peringatan amat diperlukan umumnya oleh insan beriman dan khususnya oleh mereka sebagai individu yang menggalas amanah yang berat.  Pemimpin turut menginsafi bahawa mereka bukan sahaja kelak akan dipersoal (mas’ul) oleh Allah SWT pada hari akhirat tentang hal-hal yang berkaitan dengan urusan kepemimpinan mereka tetapi juga berhak dipersoal oleh rakyat tentang kepincangan atau kegagalan dalam mengurus kepentingan mereka dalam kehidupan seharian.  Atas kesedaran dan keinsafan itu dan dengan bimbingan ulama, mereka sentiasa memelihara teras bagi kelangsungan agama, iaitu budaya nasihat-menasihati dan menyeru kepada kebaikan serta menghalang kemungkaran.  Agama pasti akan kekal terpelihara dengan perlindungan dan pemeliharaan terasnya. Begitulah sebaliknya, kelangsungan agama pasti tergugat dengan kehilangan atau kerosakan asasnya.

Sumber daripada ikim.gov.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *