Home » Langit Terbuka » Nasab kanak-kanak penghuni rumah GISBH ber’bin’kan Abdullah ditentukan Mahkamah Syariah

Nasab kanak-kanak penghuni rumah GISBH ber’bin’kan Abdullah ditentukan Mahkamah Syariah

Mohd Na'im, gambar fail. FOTO NSTP

Kuala Lumpur: Isu berhubung nasab sebahagian kanak-kanak penghuni rumah amal dikaitkan dengan GISB Holdings (GISBH), yang diselamatkan sebelum ini, akan dibawa kepada Mahkamah Syariah negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ini kerana penentuan nasab ini terletak di bawah bidang kuasa mahkamah berkenaan.

Mengulas lanjut katanya, penentuan sah taraf anak yang dikaitkan dengan GISBH itu adalah penting demi masa depan mereka.

“Maka maknanya hakim mahkamah syariah yang akan melihat pada keterangan sama ada keterangan lisan atau dokumen… dari situ ia akan menentukan sama ada wujudnya perkahwinan yang sah mengikut hukum syarak.

“Apabila mahkamah mengisytiharkan bahawa anak itu adalah anak yang sah taraf barulah boleh didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya kepada pemberita pada Majlis Kesyukuran Sempena Tamat Operasi Haji Musim 1445 Hijrah, di sini hari ini.

Pada masa sama, Mohd Nai’im berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memainkan peranan dalam jawatankuasa khas bagi menyelaraskan mengenai perkara itu.

Beliau berkata, JPN tidak boleh mendaftarkan anak terbabit sehingga menyebabkan mereka perlu di’bin’kan Abdullah berikutan tiada dokumen sah yang menunjukkan wujudnya perkahwinan.

Katanya, apabila mahkamah memutuskan bahawa perkahwinan mereka adalah sah kelak, sijil pernikahan boleh dikeluarkan jabatan agama Islam negeri.

“Dengan adanya sijil pernikahan itulah yang membolehkan JPN untuk mendaftarkan atau mengeluarkan sijil kelahiran sah semua anak terbabit.

“Isunya sekarang anak itu seolah-olah tidak sah taraf dan tiada dokumen yang menunjukkan mereka lahir hasil daripada perkahwinan yang sah,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan polis menyelamatkan 392 kanak-kanak penghuni rumah amal dikaitkan dengan GISBH dari 20 rumah amal dalam Op Global baru-baru ini.

Razarudin dilaporkan berkata, siasatan juga mendapati, sebahagian kanak-kanak ini di’bin’kan dengan Abdullah dan ibu bapa tidak mengetahui status kanak-kanak berkenaan.

Mohd Na’im turut dilaporkan berkata, jawatankuasa khas akan memanggil bekas pengikut GISBH dalam tempoh terdekat bagi menjalankan siasatan dan kajian terperinci berhubung doktrin fahaman kumpulan terbabit.

Jawatankuasa khas yang dibentuk itu akan menyelesaikan dan memuktamadkan kajian berkaitan GISBH.

Artikel Berkaitan

Bengkel Pelan Strategik YADIM 2024

WALAUPUN Sudah banyak kejayaan yang dikecapi, warga badan dakwah ini diseru untuk tidak cepat berpuas hati, malah perlu berusaha lebih gigih lagi

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *