Oleh MOHD NAZALI MOHD NOOR
Mohd Nazali Mohd Noor adalah pensyarah kanan Pengurusan Fasiliti di School of The Built Environment, Liverpool John Moores University. Beliau juga merupakan penulis buku best seller iaitu “Ulu Yam Di Liverpool.”
Baru baru ini
Dalam keterbatasan waktu, saya bertemu satu persatu mereka yang menyapa mesra di meja penulis. Sempat saya berlegar di sekitar jualan gudang Karangkraf di Shah Alam. Sebagaimana biasa saya memerhati gelagat mereka yang hadir.
Dan mata saya tertancap pada seorang lelaki sebaya saya bersama seorang anak lelaki berusia lapan atau sembilan tahun saya kira.
Di tangan lelaki itu ada dua buah topi keledar. Pakaiannya kusam.
Sambil membelek-belek buku dan majalah…
“Amir nak buku ini tak? Ni kisah Rasullullah. Ada jualan murah ni. Abah beli ya?”
“Buku ni Amir nak…Tapi Amir nak buku yang sana tu abah.. Yang Amir tunjuk tadi.”
Saya lihat lelaki itu mengeluarkan dompet. Dia pandang anaknya. Dia seakan mencongak- congak, berkira dalam fikiran barangkali.
“Buku nilah ya Amir. Buku yang Amir nak tu mahal. Kita beli buku ni aja ya?”
Anaknya, Amir tunduk memandang selipar yang juga agak lusuh.
“Takpalah bah. Takpa.. Amir tengok buku lain ya?”
Si abah pandang anaknya. Berjalan ke tindanan buku yang mula-mula dipegang anaknya tadi. Dikeluarkan dompetnya sekali lagi. Mencongak lagi. Datang ke anaknya.
“Nanti balik, abah tanya mak dulu ya? Abah tanya kita cukup duit tak nak beli buku yang Amir nak tu. Kita beli buku yang ni dulu ya?”
Anak tadi diam lagi.
“Takpalah bah… takpa takpa..”
Kedua mereka pergi keluar dari khemah menuju ke gerai air.
****************************************
Saya bergegas ke stok buku yang mula-mula diulang tengok abahnya tadi.
“Buku mana ya yang anak tu nak tadi?”
Saya tak pasti. Saya ambil saja lima ke enam buku dalam tindanan yang ada.
Koleksi buku kanak kanak.
Saya pergi pula ke tempat buku yang abahnya usulkan tadi.Saya ambil juga beberapa buku yang di usul abahnya termasuk buku kisah Rasulullah.
Terus saya ke kaunter bayaran. Jumlah lapan buah buku yang saya ambil tadi hanya RM 83.00.
****************************************
Saya bergegas mencari anak dan abahnya.
“Assalamualaikum bang. Saya Nazali. Maaf ya, saya tercuri dengar sembang abang dengan anak abang tadi. Saya tak tahu buku mana yang anak abang nak. Tapi abang ambil ya buku ni. Jangan tidak ya bang.”
Lelaki tadi terkejut. Anaknya juga terkejut.
“Eh.. encik… ehh… takpa, takpa.”
“Jangan takpa, takpa bang. Saya kerja kat sini. Saya dapat murah aja buku ni. Bagilah anak abang ya bang. Dia suka baca bukukan?”
“Ehhhh… Janganlah encik… tak apa encik…”
Saya pandang anak tadi.
“Sayang…ni buku yang sayang nak tadi kan? Ambil ya, uncle belanja.
Belajar pandai-pandai ya, sayang.
Nanti sayang abah dengan mak banyak-banyak tau.”
Anak tadi terima buku yang saya bagi. Dia diam. Dia pandang ayahnya minta kepastian. Ayahnya angguk kepala. Baru dia ambil plastik bag buku yang saya bagi.
“Terima kasih ya, pakcik. terima kasih ya…”
Saya tersenyum.
Abang tadi terus jabat tangan saya.
“Terima kasih ya. encik. Saya tak tahu nak kata apa.”
Saya senyum.
“Saya doakan anak abang ni belajar pandai. Sampai ke England nanti!”
“Dia memang nak sangat pergi England encik.”
****************************************
Saya pandang anak tadi. Saya peluk dia.
“Pergi ya, Amir. Kalau siapa kata tak boleh pergi, buat tak tahu aja. Amir mesti boleh pergi. Uncle tau Amir budak pandai.”
Dia anguk angguk kepala.
****************************************
Saya tinggalkan dua beranak tadi.
Saya teringat arwah ayah. Ayah dulu macam tu. Bila tak ada duit dia bawak saya ke Kuala Lumpur naik bas dari Ulu Yam sebab naik bas free kerana ayah prebet polis pencen.
Ayah selalu bawak saya pergi pustaka Minerva di Jalan Tunku Abdul Rahman. Teman saya belek dan baca buku dari pagi sampai petang. Berhenti sekejap waktu zuhur dan asar di Masjid India. Sambung lagi teman saya baca buku kat sana. Sebab ayah tak ada duit nak beli buku untuk saya…
Ayah kata…
“Ayah tak mampu nak beli buku untuk Onn. Tapi tak semestinya Onn tak boleh baca buku yang Onn suka.
Ayah teman baca buku kat kedai buku kat KL ya?
Onn nak pergi England kan?
Nak pergi England kena baca buku banyak-banyak.
Nak beli, ayah tak cukup duit.”
Lewat petang kami naik bas balik dari Puduraya ke Ulu Yam.
Ayah kan teman?
Mana ayah yang tak nak anak dia pandai?
Mana ayah tak sayang anak?
Macamana susahpun, ayah dayakan untuk kita anak-anak.
****************************************
Bila saya pandang Amir dan ayahnya, saya teringat kisah saya dulu-dulu. Saya ingat arwah ayah pernah bukak dompet banyak kali kat Pustaka Minerva tu. Sama macam abah Amir tu.
Kita yang dah sukses sekarang sebab susah payah ayah kita agaknya kan? Dan macamana kita anak boleh sampai hati, kadang-kadang lupa jasa ayah. Lupa jerih-perih ayah nak bagi kita pandai dulu.
Kita boleh kadang-kadang kedekut dengan ayah kita. Balik jenguk ayahpun ikut selesa kita. Kedekut masa, kedekut telinga untuk dengar keluh kesah abah ayah kita.
Berapa kerap kita jenguk ayah abah kita sekarang ni?
Kalau ada ayah lagi baliklah jenguk ayah. pergilah balik ya?
Ayah kot…
Ayah…
p.s: Al-Fatihah Hj Mohd Noor Habib.
GREATEST dad ever!
Missing you loads…
Loads…
KOMEN