BEKAS Mufti Jordan, Prof. Dr. Amin Mohammad Sallam Al-Manasyeh percaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mampu memimpin Malaysia menjadi salah sebuah negara terbaik di dunia.
Walau bagaimanapun menurut Dr. Amin kepada portal Malaysia Gazette, Najib mestilah sentiasa mematuhi ajaran al-Quran dan sunnah.
“Saya berpendapat jika Allah memberi masa, beliau akan terus memajukan dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara terbaik di dunia. Itu yang saya fikir tentang beliau,” katanya.
Dr. Amin pernah menjadi mufti Jordan selama 23 tahun, dilantik menjadi Mufti di Philadelphia dan New York, Amerika Syarikat, merupakan Ketua Lujnah Pembanterasan Fahaman Syiah Jordan, mantan Imam Talaqqi Masjid Nabawi serta profesor di Universiti Mu’tah dan Universiti Jordan.
Memiliki tiga doktor falsafah dan tiga ijazah sarjana, Dr. Amin juga pakar al-Quran dan hadis serta menjadi penasihat syariah kepada syarikat milik Malaysia, Dubaiz Islamic Concept Sdn. Bhd.
Dr. Amin yang kini berada di Malaysia selama 6 hari dan diberikan kesempatan bertemu dengan Najib untuk berbincang pelbagai isu selain menunaikan solat hajat bersama-sama baru-baru ini, menyifatkan perdana menteri sebagai seorang mukmin.
“Kami solat hajat bersama. Saya harap Allah terima doa saya. Kita cuba, Allah yang memperkenankan. Kita serahkan segala-galanya kepada Allah,” ujarnya.
Mengulas tentang Malaysia Dr. Amin berkata, negara ini pada pandangan matanya adalah sebuah negara yang berkembang maju dan lebih moden daripada kebanyakan negara di Timur Tengah termasuk Jordan.
“Saya sukakan Malaysia dan rakyatnya. Mereka baik dan murah hati,” ujar Dr. Amin yang turut berpendapat rakyat negara ini suka bekerja dan mempunyai kehidupan yang baik.
KOMEN