OIC perlu jadikan nasib penduduk minoriti Rohingya agenda utama
ANKARA 23 Nov. – Ulama terkemuka Turki menggesa umat Islam memandang serius penderitaan etnik Islam Rohingya di Myanmar seperti mana juga di tempat-tempat lain dunia termasuk di Syria.
Ketua Jabatan Hal Ehwal Agama Turki, Prof. Dr. Mehmet Gormez berkata, berikutan sikap tidak peduli umat Islam ketika ini, Myanmar sedang meningkatkan tekanannya terhadap umat Islam di negara itu.
“Kesengsaraan umat Islam di Myanmar kurang diberi perhatian kerana umat Islam hanya menumpukan kepada peperangan yang berlaku di Syria.
“Mereka tidak pedulikan etnik Islam Rohingya Myanmar khasnya di negeri Rakhine. Penderitaan yang dihadapi lebih besar,” kata Mehmet sebagaimana lapor agensi berita Anadolu.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan pertemuan dengan Ketua Kesatuan Rohingya Arakan (Rakhine), Dr. Wakar Uddin di Ankara, semalam.
Mehmet berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama dan Yayasan Agama Turki akan berusaha melakukan yang terbaik untuk membantu umat Islam di Myanmar.
Jelas beliau, adalah menjadi kewajipan umat Islam di seluruh dunia untuk menghentikan penindasan ke atas etnik Rohingya dan menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menangani isu itu sebagai agenda utamanya.
Dalam perkembangan berkaitan di Maungdaw, Rakhine, penduduk mendakwa beberapa wanita dari Kampung Kyar Gaung Taung dan Kampung Myaw Taung dirogol tentera Myanmar ketika kira-kira 25 orang lelaki dari penempatan itu ditahan dalam kejadian Ahad lalu.
Menurut penduduk, jenayah itu dilakukan oleh sekumpulan tentera Myanmar terdiri daripada 200 orang yang memasuki Kampung Kyar Gaung Taung pada waktu pagi pada 20 November lalu.
“Setakat yang saya tahu, kira-kira 50 wanita dirogol oleh tentera ketika 25 orang lelaki ditahan.
“Mereka masih ditahan dan askar masih belum meninggalkan kampung ini,” kata penduduk kampung ketika dihubungi Rohingya Blogger kira-kira pukul 4.30 petang, kelmarin.
Dalam perkembangan berasingan di negeri Shan, utara Myanmar, bank dan kedai di bandar bersempadan dengan China itu terpaksa menutup operasi sejak tengah hari semalam ekoran peningkatan serangan terhadap balai polis.
Ekoran pertempuran senjata sejak minggu lalu, penduduk tempatan di bandar Muse kekal berada di kediaman masing-masing bagi mengelak terkena tembakan ketika beratus-ratus penduduk lain mencari perlindungan di gereja.
Sebahagian besar penduduk turut melarikan diri ke bandar berjiran dengan Jiegao yang terletak wilayah Yunnan, barat daya China susulan pertempuran antara tentera kerajaan dan tiga etnik bersenjata yang menyerang pos pemeriksaan tentera dan balai polis di bandar Muse dan Kutkai. – BERNAMA
-https://www.utusan.com.my/berita
KOMEN