MARAN – Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengambil langkah proaktif mewujudkan mussola di pusat pemindahan bagi memudahkan penduduk beragama Islam yang terjejas banjir menunaikan solat.
Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata keadaan rumah mangsa banjir yang tidak terurus serta dipenuhi lumpur membataskan mereka mengerjakan solat di kediaman masing-masing.
“Mussola ini diharap dapat membuatkan mereka melaksanakan ibadah dengan lebih selesa kerana ia turut dilengkapi kemudahan mengambil wuduk dan sejadah.
“Agensi kami seperti Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) akan membantu mewujudkan mussola ini bagi mereka menunaikan solat dengan selesa, bagi pusat pemindahan di masjid dan surau kami akan membantu mencuci kawasan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan mussola di pusat pemindahan Taman Maran Jaya, di sini pada 7 Januari.
Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Maran Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib.
Sementara itu, Zulkifli berkata semua agensi di bawah kementeriannya kini menggembleng tenaga untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di negeri-negeri yang terjejas.
Beliau berkata selain YADIM, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), Yayasan Taqwa, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Pusat Pungutan Zakat diarah mengagih bantuan kepada mereka yang terlibat.
“Masing-masing mempunyai peranan, ada yang bantu dari segi makanan, pakaian, duit, kelengkapan, buku dan sebagainya, kami cuba bantu sehabis baik,” katanya.- BERNAMA
KOMEN