KUALA LUMPUR – Bukan hanya rakyat Malaysia dibantu, malah Muslim Care Malaysia turut menghulurkan sumbangan kemanusiaan kepada penduduk Islam ditindas di Tebing Gaza, Palestin.
Difahamkan sebanyak lebih 200 pek makanan disumbangkan khusus untuk pesakit dialisis di Kompleks Kesihatan Nasseer, di Wilayah Khan Yunis, Gaza.
Setakat ini sumbangan itu diedarkan selama dua hari dengan kos sebanyak RM3,024 oleh Sukarelawan Muslim Care Malaysia yang berada di Palestin.
Presiden Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care), Zulkifli Wahijan berkata, jumlah penuh bantuan disalurkan untuk saudara seislam di Gaza dalam misi bantuan itu membabitkan jumlah RM8,640 setakat ini.
“Bagaimanapun sumbangan tambahan akan terus diedarkan kepada pesakit-pesakit dialisis di negara yang masih ditindas rejim Zionis itu.
“Untuk rekod, Kompleks Kesihatan Nasseer menerima 100 pesakit setiap hari untuk menajalankan dialisis buah pinggang khusus membabitkan rakyat Palestin yang kurang bernasib baik,” katanya.
Difahamkan, jumlah pesakit keseluruhan yang menerima manfaat rawatan dialisis di kompleks kesihatan itu adalah seramai 400 orang.
“Untuk itu, Muslim Care Malaysia mengambil inisiatif untuk membantu rakyat Palestin mengurangkan beban mereka dengan membantu apa yang termampu.
“Setakat ini, bantuan yang diedarkan masih berada di fasa kedua, dan sukarelawan Muslim Care Malaysia di Palestin akan terus mengedarkan bantuan-bantuan diperlukan rakyat Palestin di Gaza.
“Khan Yunis adalah bandar kedua terbesar di Semenanjung Gaza dan kebanyakan projek pembangunan yang dilaksanakan Muslim Care Malaysia tertumpu di bandar itu,” katanya.
Beliau berkata, antara sumbangan hasil dana diterima dari rakyat Malaysia termasuklah Masjid Muhammad Al-Amin bernilai RM1.3 juta, padang futsal, tiga jalan berturap untuk kemudahan orang kurang upaya (OKU) setiap satu jaraknya 50 ke 100 meter serta kelengkapan perpustakaan di Khan Younis.
Difahamkan dua juta penduduk Semenanjung Gaza terus hidup dalam kemiskinan berikutan kepungan tembok batu oleh Israel sejak sekian lama.
“Orang ramai bersimpati boleh membantu rakyat Palestin dengan menyalurkan sumbangan kepada Muslim Care Malaysia melalui nombor akaun Maybank (564490413882), Bank Islam ( 14014010147470) dan Bank Muamalat (14010007654717),” katanya. – Harian Metro
KOMEN