PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diarah untuk mendapatkan laporan terperinci daripada pihak berkuasa agama Islam negeri berhubung kejadian seorang murid meninggal dunia dipercayai akibat renjatan elektrik di sebuah sekolah di Serdang, Selangor, Rabu lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia bagi mencari pendekatan drastik secara bersama agar kejadian tersebut tidak berulang lagi.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merakamkan takziah kepada keluarga murid yang telah meninggal dunia dipercayai kerana terkena renjatan elektrik sewaktu Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di sebuah sekolah di Serdang.
“Kejadian tersebut adalah amat mendukacitakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian membabitkan seorang murid lelaki tahun enam kira-kira jam 6.30 petang.
Jelasnya, seorang wanita tempatan berusia 36 tahun membuat laporan polis berkaitan pihaknya menerima pesakit iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik di sebuah sekolah di kawasan Serdang sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6.50 petang,” katanya.
KOMEN