BANGI – Multaqa Perpaduan Ummah anjuran Majlis Dakwah Negara (MDN)-YADIM yang berlangsung di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) pada 22 Mei 2016 lalu telah meluluskan resolusi yang menfokuskan kepada usaha-usaha menyelesaikan masalah perpecahan umat Islam di negara ini dengan melibatkan pelbagai pihak.
Dalam multaqa yang dihadiri oleh kira-kira 200 cendiakawan, ahli politik, pemimpin masyarakat, golongan profesional itu, para peserta telah sebulat suara bersetuju bahawa telah berlaku perpecahan yang sangat ketara di kalangan umat Islam dan ia melibatkan pelbagai konteks termasuk akidah dan politik.
Para peserta multaqa juga menyatakan kebimbangan bahawa perpecahan itu telah semakin melarat sehingga membentuk pelbagai kelompok dan keadaan ini telah menyebabkan pelbagai tindakan melampaui batas seperti tuduh menuduh dari segi pegangan akidah sehingga kepada peringkat kafir-mengkafir antara satu sama lain dan serang menyerang dari segi politik sehingga kepada peringkat fitnah-memfitnah antara satu sama lain.
Dalam perbincangan yang begitu rancak diadakan itu, para peserta turut meluahkan rasa bimbang terhadap isu berkenaan yang boleh menyebabkan keadaan semakin parah sehingga boleh mengancam survival umat Islam sendiri di negara ini, baik dari segi pegangan agama mahu pun dari segi politik.
Justeru, dengan keadaan demikian, multaqa telah menetapkanpendirian untuk menyatakan kedukacitaan terhadap apa yang telah berlaku, menggambarkan kebimbangan dan seterusnya menegaskan komitmen MDN untuk sama-sama mencari jalan ke arah penyelesaian yang adil dan saksama.
Dalam mencari penyelesaian itu berkenaan, MDN telah bersetuju untuk membentuk Sekretariat Khas yang dianggotai ilmuwan dan tokoh-tokoh berwibawa yang merangkumi ahli-ahli yang merentasi sempadan ideologi politik dan kefahaman agama yang sempit bagi memenuhi tujuan-tujuan berikut:
Selain itu, MDN juga akan mengadap Duli-Duli Yang Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk memohon Baginda-baginda semua campur tangan atas sifat sebagai payung bagi agama Islam dan rakyat Malaysia seluruhnya.
MDN juga akan mengadakan kunjung hormat kepada tokoh-tokoh utama parti politik Islam, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri bagi membuka ruang ke arah mencapai pendekatan yang sesuai sebagai jalan penyelesaian terhadap perpecahan yang berlaku.
Bagi memantapkan lagi usaha berkenaan, MDN juga akan menganjurkan dialog secara meluas dalam kalangan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan entiti masyarakat madani bagi mencari kesepakatan dalam usaha memahami pandangan dan pendirian masing-masing seterusnya mencari titik penyelesaian ke arah perpaduan.
Langkah ini kemudiannya disusuli dengan usaha menemui masyarakat umum atas sifat sebagai akar umbi ummah bagi mendapat sokongan mereka dalam usaha menyelesaikan kegawatan yang sedang berlaku dan mencegah apa-apa kemungkinan buruk yang mungkin berlaku.
Resolusi berkenaan juga menyatakan bahawa MDN akan membentuk rangkaian kerjasama dengan berbagai-bagai pihak khususnya pihak media dengan tujuan untuk menjadi satu faktor yang mampu melaksanakan tugas suci amar makruf dan nahi munkar seperti yang dianjurkan oleh agama Islam serta membentuk multaqa golongan muda di bawah 40 tahun
Bagi memastikan mesej-mesej perpaduan itu dapat disampaikan dengan berkenaan, MDN juga perlu memanfaatkan sosial media masa kini seperti whatsapp, facebook, instragram dan sebagainya untuk menyemarakkan kepentingan perpaduan ummah.
Resolusi berkenaan juga menyatakan terma rujukan bagi pasukan-pasukan ini adalah seperti berikut:
– Membentuk pasukan yang mantap dengan disetiausahakan oleh wakil Majlis Dakwah Negara (MDN)-YADIM bagi tujuan menjadi jurucakap kepada umat Islam di negara ini dalam masalah perpaduan ummah.
– Membuat kunjungan hormat kepada pihak yang ditentukan bagi memahami pandangan dan pendirian masing-masing dalam masalah berkenaan, dan berbincang dengannya cara bagaimana pandangan serta pendirian itu dapat direalisasikan.
– Membuat analisis tentang kemungkinan pihak berkenaan memainkan peranan yang positif ke arah membentuk perpaduan ummah.
– Membuat laporan dari semasa ke semasa kepada urus setia Multaqa sama ada di luar atau dalam mesyuarat yang dipanggil bagi tujuan berkenaan.
– Bekerjasama dengan urus setia dan pasukan-pasukan yang lain dengan cara yang munasabah bagi mencapai objektif perpaduan ummah.
– Melibatkan semua jabatan atau agensi Islam baik pada peringkat kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan bagi menggerakkan agenda perpaduan ummah.
Multaqa ini dianjurkan oleh  Majlis Dakwah Negara (MDN)-YADIM dengan kerjasama Wacana Ilmuan Malaysia (WIM), iaitu satu rangkaian group online, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah (PBMITT) dan Majlis Alumni Pengajian Islam Kebangsaan (MAPIK).
KOMEN