Home » Citra Yadim » Mukhayyam membina jati diri generasi muda

Mukhayyam membina jati diri generasi muda

GENERASI muda adalah pewaris negara. Begitulah ungkapan yang seringkali dinyatakan bagi menggambarkan peri pentingnya pembentukan generasi muda bagi memastikan kelangsungan sesebuah negara itu.

Hal ini juga ditegaskan oleh ulama tersohor, Prof. Dr Yusuf al-Qardhawi. Katanya, “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku.”

Begitulah yang boleh disimpulkan mengapa proses pembentukan generasi muda ini sangat penting dan memerlukan perancangan yang mantap sehingga mampu menzahirkan apa yang dicita-cita itu.

Sehubungan itu, menyedari pentingnya pembangunan generasi muda Islam ini, YADIM telah menginisiatifkan program Sahabat YADIM yang melibatkan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.

Program Sahabat Yadim dibangunkan untuk memberi kefahaman dan penghayatan kepada masyarakat mengenai agenda besar perjuangan Islam dan peranan ummah bagi memartabatkan agama, bangsa dan negara.

Para penggeraknya terdiri daripada para pelajar pelbagai jurusan di pusat pengajian tinggi tempatan.

Antara aktiviti Sahabat Yadim adalah Mukhayyam Ukhuwwah Sahabat Yadim  atau ringkasannya `Muhsin’ yang diadakan di beberapa lokasi berasingan di seluruh negara.

Pengurus Eksekutif Bahagian Kepimpinan Muda (Kemuda) Yadim, Zamani Karulani berkata, untuk tahun ini sebanyak 10 program Muhsin telah diadakan dengan tujuan untuk mengukuhkan ukhuwwah dan perkaderan kepimpinan Islam di kalangan peserta yang terdiri daripada ahli-ahli Sahabat YADIM.

“Program ini ternyata, telah memberi impak yang amat baik kepada mereka yang terdiri daripada pelajar pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan kerana sepanjang program pelbagai pengisian disediakan seperti solat fardhu secara berjemaah, kuliah Subuh dan Maghrib, qiamullail dan usrah.

“Mereka juga berpeluang merasai pengalaman memasak di dalam hutan, hiking, jungle tracking abseiling dan mencari harta karun,’’ katanya.

Beliau berkata, dalam program ini ini, para peserta yang didedahkan kepada tujuh teras  Sahabat Yadim yang telah digariskan dan turut dikupas secara berkumpulan bagi memahami sepenuhnya tanggungjawab mereka sebagai ahli Sahabat Yadim.

Tujuh  teras tersebut adalah beriman dengan akidah yang benar, beradab dan beramal soleh, membudayakan ilmu dan berkemahiran tinggi, adil dan berhikmah menyampaikan kebenaran, ikhlas dalam perjuangan, berukhuwwah dan berdakwah dengan kasih sayang serta istiqamah dan iltizam dalam dakwah.

Menurutnya, program ini memberikan satu pengalaman yang amat menyeronokkan bukan sahaja kepada para peserta tetapi juga kepada urus setia Yadim. Setiap aktiviti yang dilaksanakan mempunyai falsafahnya yang tersendiri bagi membina jati diri Islam di dalam setiap diri  peserta.

“Aktiviti-aktiviti yang dilakukan telah berjaya membina ukhuwwah di kalangan ahli Sahabat Yadim yang saling tidak mengenali sebelum ini. Para peserta juga dilatih menjadi seorang yang beridealisme Islam sejati, progresif dan mempunyai ketahanan fizikal dan mental.”katanya.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *