SEPANG – Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata beliau tidak hirau dengan sebarang kritikan dan tetap akan meneruskan rancangannya dalam memulihkan Lembaga Tabung Haji (TH) selepas dilaporkan mengalami defisit RM4.01 bilion, tahun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata penafian bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkenaan defisit itu perkara biasa.
“Macam saya kata, kita tetap dengan rancangan kita dan yang penting TH dapat dipulihkan dan pendeposit serta umat Islam dapat servis yang lebih baik daripada kita.
“Selain daripada itu apa yang orang kata biasalah. Kita teruskan dengan TH punya rancangan,” katanya pada sidang media di Bilik Khas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Azeez yang menolak laporan juruaudit bebas, PricewaterhouseCoopers (PwC) yang badan berkanun itu mengalami defisit sebanyak RM4.01 bilion, tahun lalu.
Azeez berkata, PwC tidak mengambil kira laporan Ernst and Young dalam menilai nilai pasaran semasa aset keseluruhan TH yang merangkumi anak syarikat, syarikat bersekutu, syarikat usahasama dan hartanahnya.
Pada 10 Disember lalu, Mujahid dilaporkan berkata, pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 melanggar Akta Lembaga Tabung Haji 1995 sehingga menyebabkan agensi itu mengalami defisit RM4.1 bilion berakhir 31 Disember 2017.
Katanya, pemberian hibah perlu memenuhi 2 syarat utama, iaitu aset TH perlu melebihi liabiliti dan ia perlu menjana keuntungan terlebih dahulu.
Bagaimanapun, Azeez berkata, laporan disahkan firma audit luar menunjukkan nilai aset TH melebihi semua liabiliti sejak 3 tahun lalu.
Katanya, nilai sebenar aset adalah nilai pasaran semasa dan bukan nilai kos pelaburan asal.
Mujahid enggan mengulas mengenai cadangan beberapa pihak supaya TH menubuhkan suruhanjaya diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dalam TH.
“Saya baru balik dari Mekah bertemu dengan menteri. Tujuan sidang media hari ini adalah untuk maklumkan apa hasil mesyuarat kita,” katanya. – FreeMalaysiaToday
KOMEN