SINGAPURA, 12 Januari – Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengambil pendekatan fleksibel berhubung kontroversi polisi kek bersijil halal dalam premis makanan pemegang sijil halal.
Kenyataan MUIS itu dikeluarkan sebagai mengulas pengumuman restoran McDonald’s Singapura baru-baru ini yang mengatakan kek-kek hari lahir yang dibawa oleh pelanggan ke premis restoran makanan segera itu mestilah daripada sumber yang halal.
MUIS dalam kenyataannya itu melahirkan rasa penghargaannya kepada pendekatan McDonald’s Singapura itu, namun perlu membuat penjelasan lanjut mengenainya.
MUIS memberikan panduan yang membolehkan para pengguna membawa masuk makanan luar, seperti kek harijadi atau makanan bayi, tanpa menjejaskan status pensijilan halal perniagaan.
“Pemegang sijil halal boleh mengamalkan budi bicara dalam kes sedemikian, selagi ia tidak membabitkan percampuran makanan, dan makanan tersebut tidak dibawa ke bahagian dapur, ruang penyediaan makanan atau kemudahan penyimpanan.
“Hanya sudu garfu pakai buang digunakan, dan bahan makanan tersebut dimakan dan sebarang baki perlu disimpan dalam beg dan segera dibuang.
“Selagi syarat-syarat tersebut dipenuhi, prinsip sijil halal masih terpelihara,” kata MUIS, menurut laporan Media Corp.
McDonald’s Singapura melalui pegawai komunikasinya, Faz Hussen minggu lalu memberitahu syarat bahawa kek-kek hari lahir yang dibawa oleh pelanggan ke premis mestilah halal, sudah dikuatkuasakan sejak tahun 1992.
Ia bermakna perkara itu telah dilaksanakan apabila semua restoran McDonald’s di republik ini menerima sijil halal daripada MUIS.
Polisi membenarkan hanya kek bersijil halal dibawa masuk ke premis McDonald’s Malaysia mencetuskan kontroversi dan mengundang kritikan antaranya daripada pengusaha kecil-kecilan apabila notis tentangnya ditampal di premisnya.
McDonald’s berkata, polisi itu tetap diteruskan sebagai mematuhi garis panduan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan pengeluaran sijil pengesahan halal berpandukan manual prosedur pensijilan halal (Semakan Ketiga) 2014.
“Ianya mengambil kira keseluruhan rantaian produk dengan pendekatan Halalan Toyyiban yang membawa maksud halal lagi suci, berkualiti dan selamat (food safety).”
KOMEN