PETALING JAYA: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Bakri meluangkan masa menziarahi pelakon dan penulis lirik, Bob Lokman yang sedang uzur di kediamannya di Sungai Buloh dekat sini pada pagi Rabu.
Zulkifli menerusi Instagramnya memberitahu walaupun keadaan Bob tidak sihat namun dia tetap menyambut kedatangannya selain sempat berbual tentang Tok Kenali seorang ulama tersohor Kelantan dalam lawatan singkat itu.
“Dalam waktu yang amat terhad pagi ini, kami sempat mengunjungi saudara Bob Lokman yang mengalami keuzuran di rumahnya.
“Walaupun begitu, beliau tetapi menggagahkan diri menyambut kami dan sempat berbincang berkenaan keluarga Tok Kenali, seorang ulama tersohor Kelantan,” tulisnya.
Zulkifli memberitahu Bob pernah datang ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan beberapa tahun lalu.
Dalam pada itu, Zulkifli mendedahkan penulis lirik lagu Isabella nyanyian Amy (Search) itu pernah datang ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) beberapa tahun lalu.
“Bob Lokman pernah mengunjungi kami di PMWP cawangan Kuala Lumpur beberapa tahun lepas.
“Semoga Allah kurniakan kesihatan kepadanya. Mohon maaf kerana kehadiran agak mengejut dan tidak dapat berbual panjang kerana hambatan masa dan tugas.
Pada Isnin lalu, Bob atau Mohd Hakim Lokman, 54, menerusi Facebook miliknya berkongsi keadaan kesihatannya yang semakin menurun selain memberitahu kegembiraan yang dilaluinya sebelum ini sudah tidak seperti dahulu. –
“Assalamualaikum Sahabat. Aku jumpa doktor lagi hari ni, rutin seorang tua. Selepas segala kegembiraan dan kesedapan aku lalui, standard sudah berubah.
“Selera makanan dan ghairah kehidupan sudah menurun sampai ke peringkat menunggu… Kau fahamlah. Cuma masih ada rasa untuk mencari peluang terbaik seterusnya.
“Sahabat, hari ini kau semua datang kembali dalam realiti, kenangan dan aku mula mengerti bahawa hubungan kita tidak hanya sampai di sini, cuma mungkin aku yang akan mendahului dengan faktor yang aku miliki,” tulisnya.- MSTAR
KOMEN