Home » Langit Terbuka » Mufti Perlis sambut baik Malaysia enggan hantar Zakir Naik ke India

Mufti Perlis sambut baik Malaysia enggan hantar Zakir Naik ke India

Asri (tengah) ketika dirakam bersama Zakir naik (kanan). - Foto MSN

PETALING JAYA – Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin menyambut baik keengganan Putrajaya menghantar Dr Zakir Naik ke India untuk berdepan pertuduhan pengubahan wang dan mendakwa pengkritiknya lebih setia kepada India berbanding Malaysia.

Asri, seorang daripada penyokong paling lantang pendakwah kontroversi dari India itu, turut menggesa umat Islam menyokong pendirian Dr Mahathir Mohamad yang tidak tunduk kepada “kezaliman dan penindasan di India”.

Semalam, Mahathir berkata, Putrajaya berhak menolak sebarang permohonan New Delhi untuk menghantar Naik yang berdepan pertuduhan pengubahan wang kira-kira RM115 juta, ke India.

Perdana menteri dilaporkan berkata, ia sama seperti keengganan Australia menghantar pulang Sirul Azhar Umar yang disabitkan bersalah membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

“Kita minta Australia ekstradisi Sirul dan mereka takut kita akan hantarnya ke tali gantung.

“Zakir umumnya berasa beliau tidak akan mendapat perbicaraan yang adil (di India),” katanya semalam.

Dalam catatan Facebook hari ini, Asri yang pejabatnya menjadi tuan rumah kepada Naik ketika siri ceramahnya di Perlis, berkata ada sesetengah individu yang sudah mendapat kewarganegaraan atau menjadi rakyat Malaysia, tetapi “tumpah setia mereka pada negara asal mereka”.

“Dalam isu Zakir Naik, nyata kesetiaan mereka bukan kepada Malaysia, sebaliknya kepada India.”

Pada 2017, P Waytha Moorthy yang kini merupakan menteri di Jabatan Perdana Menteri bersama 18 individu lain memfailkan saman terhadap kerajaan Barisan Nasional ketika itu atas dakwaan melindungi dan memberi status penduduk tetap kepada Naik.

Mahkamah Tinggi mengetepikan saman itu pada Februari 2018.

Pada 2 Mei lalu, Direktorat Penguatkuasaan (ED) India memfailkan pertuduhan pengubahan wang ke atas Naik tanpa kehadirannya di mahkamah kerana memperoleh aset jenayah bernilai Rs1.9 bilion (RM114.5 juta).

Sebuah mahkamah di Mumbai dijangka menentukan sama ada waran tangkap tidak boleh diikat jamin perlu dikeluarkan ke atas Naik. India boleh mendapatkan bantuan Interpol untuk menahan dan menghantarnya pulang untuk perbicaraan.

Naik turut didakwa menghasut permusuhan dan kebencian antara masyarakat berbilang agama dalam ceramahnya, tetapi beliau menyifatkan ia sebagai dakwaan rekaan semata-mata.

Bulan lalu, beliau memberitahu sebuah majalah India yang beliau sedia pulang ke India untuk berdepan pertuduhan, tetapi bimbang dipenjarakan seperti suspek beragama Islam lain yang didapati tidak bersalah oleh mahkamah beberapa tahun kemudian.

“Jika ada jaminan Mahkamah Agung India sekiranya Dr Zakir Naik datang, mereka tidak akan tahan saya sehingga saya disabitkan bersalah, saya akan datang,” katanya kepada The Week. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *