PETALING JAYA – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menang saman yang difailkannya terhadap seorang lelaki di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 28 April atas kenyataan fitnah yang dibuatnya pada 2018.
Hakim Ishak Bakri mengarahkan defendan Arunakirinathan Thillainathan membayar ganti rugi RM150,000, selain kos sebanyak RM20,000 kepada Asri yang memfailkan saman fitnah itu pada 25 Feb 2019.
Saman itu difailkan terhadap catatan Arunakirinathan di akaun Facebook bawah nama “Arunakiri Nathan” pada 26 dan 27 Nov 2018 yang antara lainnya mendakwa Asri ingin menghancurkan kuil dan terbabit dalam penculikan seorang pastor.
Hakim turut memerintahkan Arunakirinathan membuat memohon maaf secara terbuka kepada Asri di akhbar utama pilihan aktivis itu dan melalui akaun Facebook Arunakiri Nathan dan Arunakiri Nathan II.
Lelaki itu juga diarahkan menarik balik kedua-dua catatan fitnah itu dan catatan lain yang memetik nama Asri secara langsung atau tidak langsung.
Hakim turut membenarkan injunksi kekal bagi menghalang Arunakirinathan daripada bercakap, menerbitkan, menghasut bagi tujuan penerbitan atau menyebabkan penerbitan sebarang catatan yang memfitnah dan merujuk Asri, sama ada secara lisan atau bertulis. – FMT
KOMEN