Home » Langit Terbuka » Mufti Perlis benar orang Islam hadir majlis Krismas, Terengganu kata memadai hanya ucapan

Mufti Perlis benar orang Islam hadir majlis Krismas, Terengganu kata memadai hanya ucapan

Menghadiri majlis sambutan ataupun rumah terbuka bukan Islam yang tidak membabitkan upacara ritual agama tersebut dengan Muslim yang hadir itu adalah dibenarkan, kata Mufti Perlis - Foto Says

KUALA LUMPUR – Setiap tahun tercetus pertikaian tentang penglibatan sambutan perayaan orang bukan Islam, Hari Krismas yang berlangsung pada 25 Disember.

Jabatan Mufti Perlis dalam kenyataan berkata, Islam membenarkan umatnya menghadiri majlis sambutan atau rumah terbuka bukan Islam namun ia perlu bebas daripada upacara keagamaan yang bertentangan dengan agama.

“Menghadiri majlis sambutan ataupun rumah terbuka bukan Islam yang tidak membabitkan upacara ritual agama tersebut dengan Muslim yang hadir itu adalah dibenarkan.

“Ini jika ada keperluan untuk melakukan hal sedemikian seperti kaum keluarga, jiran tetangga dan kepimpinan masyarakat atas dasar menjaga kemaslahatan atau kepentingan dakwah dengan syarat tidak meredhai kekufuran,” kata dalam kenyataan yang diterbitkan dalam laman sesawang Jabatan Mufti Negeri Perlis hari ini yang bertajuk Hukum Penglibatan Orang Islam Dalam Perayaan Bukan Islam Dalam Konteks Malaysia.

Daripada aspek memberi ucapan selamat kepada bukan Islam pula diharuskan meskipun wujudnya perbezaan pandangan dalam kalangan golongan ulama.

Ia diharuskan berdasarkan realiti dalam negara kini yang menjadikannya sebagai budaya bukannya amalan keagamaan.

“Ucapan selamat bersempena dengan perayaan bukan Islam adalah isu yang menimbulkan perbezaan pandangan ulama.

“Berdasarkan realiti di Malaysia, adalah diharuskan ucapan selamat kepada bukan Islam jika amalan tersebut menjadi budaya dan bukan lagi amalan keagamaan. Ini dengan syarat ungkapan itu tidak mengandungi maksud kesyirikan atau kekufuran. Keharusan ini tertakluk kepada keperluan seperti menjaga kemaslahatan atau kepentingan dakwah,” katanya.

Jabatan Mufti Negeri Terengganu pula mengharamkan sebarang sambutan perayaan bukan Islam oleh umatnya kerana ia seperti mengiktiraf agama lain

Namun kenyataan itu tidak menyebut tentang menghadiri perayaan atau majlis rumah terbuka.

Menurut kenyaatan itu, orang Islam diharamkan untuk memakai pakaian Santa Claus.

“Apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam yang melibatkan akidah atau itikad adalah haram hukumnya.

“Perbuatan tersebut seperti mengiktiraf agama selain daripada Islam dan seolah-olah semua agama adalah sama. Oleh itu diharamkan bagi orang Islam meraikan atau menyambut hari perayaan orang bukan Islam dengan apa jua cara sekalipun kerana ia merupakan syiar agama mereka,” kata kenyataan tersebut.

Bagaimanapun orang Islam tidak dihalang memberi ucapan selamat kepada perayaan orang bukan Islam. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *