Home » Analitis » Muflis di bulan Ramadhan

Muflis di bulan Ramadhan

sumber

Ramadhan adalah bulan yang menjanjikan timbunan ganjaran pahala untuk dikejari dan dimanfaati. Namun kita juga boleh jatuh muflis Ramadhan jika gagal menahan diri daripada perkara-perkara yang disyariatkan Allah untuk dijauhi.

Sebelum saya menghurai lanjut makna muflis ibadah Ramadan ini, terlebih dahulu lebih molek untuk dimulakan penulisan ini dengan mengingatkan pembaca makna puasa Ramadhan sebagai yang disyariatkan Allah.

Puasa dari segi bahasa bermakna menahan diri. Dari sudut istilah, ia bermaksud menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula terbitnya fajar sehingga terbenamnya matahari. Imam al-Ghazali dalam menerangkan erti “menahan diri” ini membahagikan puasa kepada tiga peringkat.

Pertama, peringkat puasa orang-orang awam yang hanya menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa sesuai dengan istilah puasa.

Kedua, peringkat puasa orang khusus, iaitu mereka yang tidak hanya menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa, bahkan lebih dari itu turut menahan diri dari perkara yang membatalkan dan mengurangkan pahala puasa dengan cara menjaga anggota badan seperti tangan, mulut, kaki, dan sebagainya dari perkara yang membawa kepada dosa.

Ketiga, peringkat puasa orang khusus al-khusus, iaitu menahan diri dari segala perkara yang melalaikan diri daripada mengingati Allah.

Justeru, hakikat puasa sebenarnya bukanlah hanya sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga, bahkan hakikat dan matlamat puasa lebih jauh dari itu iaitu untuk mencapai ketakwaan, sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 183:

“Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

Dalam konteks dunia siber zaman moden kini, hakikat puasa juga termasuklah menahan diri daripada membuat status-status Facebook mahupun berkongsi status Facebook orang lain ataupun maklumat yang penuh dengan fitnah, tohmah, andaian, hina-menghina dan perbuatan maksiat lain. Juga membuat komen-komen Facebook yang mencetuskan perbalahan, menghina, mengutuk mahupun meremehkan antara satu sama lain.

Semua ini adalah termasuk maksiat-maksiat Ramadhan yang akan mengurangkan pahala puasa, bahkan menghapuskan ganjaran Allah sama sekali hingga puasa hanya sekadar bernatijahkan lapar dan dahaga semata-mata.

Perkara ini jelas disebut oleh Rasulullah SAW dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al-Baihaqi dan at-Tabrani: “Betapa ramai orang yang puasa, apa yang dia dapat dari puasanya hanyalah lapar dan dahaga.

Dan betapa ramai orang yang berdiri (solat di waktu malam), apa yang dia dapat dari qiamullailnya itu hanyalah berjaga malam.”

Merekalah orang-orang yang muflis di akhirat, walaupun di dunia secara zahirnya mereka solat, puasa, dan mengeluarkan zakat, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Adakah kamu semua mengetahui siapakah dia orang yang muflis?”.

Para sahabat menjawab: “Orang yang muflis di sisi kami adalah orang yang tidak mempunyai dirham dan harta benda.” Maka Baginda SAW bersabda:

“Sesungguhnya orang yang muflis daripada kalangan umatku, adalah orang yang datang pada hari kiamat dengan (pahala) solat, puasa, dan zakat, (namun) dia juga datang dengan (dosa) mencaci maki orang ini, menuduh orang ini, makan harta orang ini (dengan jalan yang salah), menumpahkan darah orang ini, dan memukul orang ini.

Maka diberikan kepada orang ini (yang dianiayanya itu) sebahagian pahala kebaikannya, dan diberikan kepada orang ini (orang lain yang dianiayanya) sebahagian dari pahalanya (yang lain).

Kemudian, jika habis pahala kebaikannya (kerana diberikan kepada mereka yang dianiayanya) sebelum diselesaikan urusannya, akan diambil dosa-dosa mereka (yang dianiayanya itu) kemudian dilemparkan kepadanya, kemudian dia dihumbankan ke dalam neraka.” Hadith sahih Riwayat Muslim.

Jelaslah di sini betapa ruginya kita andainya di bulan Ramadhan ini yang hanya sekadar menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa dan tidak menahan diri dari perkara yang mengurangkan pahala puasa.

Puasa bagi mereka tidak lebih dari hanya menunggu masa untuk berbuka. Lebih malang, jika Ramadhan turut menjadi bulan untuk menambah dosa.

Seolah-olah tidak ada beza antara Ramadhan dengan bulan-bulan yang lain. Sedangkan inilah bulan untuk kita melipatgandakan amalan-amalan ibadah dan mencari keampunan Allah yang terbuka luas, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim:

“Sesiapa yang mendirikan Ramadhan (dengan amal ibadah) kerana beriman (dengan Allah dan RasulNya) dan mengharapkan (ganjaran pahala daripada Allah), diampunkan baginya dosa-dosanya yang lalu.”

Justeru, dalam keghairahan kita menggunakan aplikasi Facebook, sama ada untuk menulis status, berkongsi mahupun membuat komentar dalam status-status orang lain, jangan sesekali menukarkan pahala kepada perbuatan maksiat yang memudaratkan.

Sumber daripada www.sinarharian.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *