Home » Langit Terbuka » MTHQK laksana peraturan baharu

MTHQK laksana peraturan baharu

KANGAR – Penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2025 akan melaksanakan peraturan baharu untuk meningkatkan kecekapan peserta dan mengukuhkan prestij acara itu sekali gus dapat mencapai standard peringkat antarabangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, aturan terkini itu berdasarkan Peraturan dan Penghakiman Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (Pindaan 2024).

“Peraturan baharu ini mengadaptasi pendekatan serta strategi yang selaras dengan aspirasi penghakiman pada peringkat antarabangsa yang secara langsung dapat meningkatkan keupayaan dan daya saing wakil Malaysia pada peringkat global.

“Antara aspek yang dikemas kini dalam peraturan baharu ini ialah Pelaksanaan Majlis, Syarat-Syarat Penyertaan, Kaedah Penghakiman dan Kaedah Pengiraan Markah,” katanya ketika berucap pada majlis prapelancaran MTHQK 2025 di sini hari ini yang disempurnakan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Mohd Na’im berkata, beberapa penambahbaikan dalam format pertandingan juga akan diteruskan dalam MTHQK 2025 bagi memberikan cabaran lebih besar kepada peserta antaranya mereka akan dimaklumkan mengenai jenis taranum wajib yang perlu dipersembahkan pada 3 petang hari bacaan berbanding 9 pagi, seperti yang diamalkan sebelum ini.

“Dengan perubahan ini, peserta akan mempunyai masa lebih singkat untuk membuat persediaan sekali gus memerlukan mereka untuk merancang latihan yang lebih komprehensif,” katanya yang turut memaklumkan MTHQK 2025 melibatkan penyertaan 109 peserta.

Beliau berkata, Perlis akan menjadi tuan rumah untuk penganjuran MTHQK 2025 yang berlangsung selama enam hari bermula pada 27 April nanti di Dewan 2020 di sini dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan majlis tilawah itu manakala majlis penutup dan pengurniaan hadiah pula akan disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

“Harapan saya agar penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1446H/2025M pada tahun ini akan meningkatkan penghayatan kita dalam mengamalkan isi kandungan al-Quran pada setiap masa.

“Kita juga perlu turut meningkatkan usaha, berganding bahu bekerjasama dan menumpukan fokus bagi menjayakan pembangunan ummah seperti yang ditekankan dalam al-Quran. Kejayaan pembangunan ummah Madani akan memastikan syiar Islam terus mekar di negara kita seterusnya mencapai kejayaan rahmatan lil alamin,” katanya. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *