Home » Citra Yadim » MPWIM mahu rapat dengan kementerian

MPWIM mahu rapat dengan kementerian

Jawatankuasa Induk MPWIM bersama Yang Dipertua YADIM dan Timbalan Yang Dipertua selepas selesai kunjungan

PUTRAJAYA – Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) berhasrat menggunakan kekuatan dan pengaruh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) untuk lebih dilibatkan dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Pengerusinya, Prof. Dato’ Noor Aziah Mohd Awal berkata, setakat ini, isu isu berkenaan wanita Islam dirujuk kepada Menteri Agama.

“Satu masa dahulu kita pernah dilibatkan dengan program-program kementerian, tetapi kebelakangan ini MPWIM tidak lagi dipanggil. Mungkin tidak ada pelarasan…. kami juga sebenarnya ada gabungan dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam, dan isu isu (yang timbul) adalah isu bersama.

“Saya rasa di sini kami (MPWIM) harap YADIM boleh membantu memperkukuhkan MPWIM dari segi hubungan dengan kementerian wanita,’katanya dalam sesi pertemuan MPWIM dengan Yang Dipertua YADIM di sini hari ini (15 Januari).

Seramai 15 orang Ahli Jawatankuasa Induk MPWIM hadir dalam pertemuan berkenaan, yang pertama kali diadakan, selepas Y.Bhg Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz dilantik memegang jawatan itu.

MPWIM mengambil kesempatan mengucapkan tahniah atas pelantikan beliau serta mengadakan sesi penerangan tentang organisasi, kepimpinan, gerak kerja serta program-program yang diadakannya, selain bertukar padangan antara kedua pihak.

Hadir sama dalam majlis berkenaan adalah Timbalan Yang Dipertua YADIM , Y.Brs Ustaz Zolkharnain Abidin serta Pengarah Bahagian Pembangunan Ummah YADIM, Normawati Muhammad.

Sementara itu dalam majlis yang sama, Ahli Jawatankuasa Induk MPWIM, Prof Madya Dr Haslina Ibrahim berkata, YADIM selaku penyelaras NGO Islam di Malaysia boleh memanfaatkan kekuatan yang dimiliki NGO Wanita Islam sedia ada.

Menurut beliau, NGO NGO Wanita Islam boleh menjadi rakan strategik yang baik kepada YADIM.

‘Jika di Eropah atau negara barat, NGO NGO adalah kumpulan pendesak (Pressure Group) yang paling berkesan, jadi kita harap agar boleh diusahakan satu pertemuan antara kumpulan ini dengan Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr Wan Azizah binti Wan Ismail, yang juga selaku Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.

“Beliau merupakan seorang yang sangat bersemangat dengan isu isu yang melibatkan wanita dan kanak kanak, saya fikir kita boleh ambil kesempatan ini untuk libatkan beliau, “ katanya.

Dalam reaksi balasnya, Nik Omar memaklumkan beliau sangat berterima kasih kepada semua cadangan dan idea yang diberikan selain menyatakan rasa kagum kerana rata rata ahli MPWIM merupakan golongan professional yang bernas buah fikirnya.

Menurutnya, YADIM ketika ini sedang berusaha menambah baik struktur organisasinya, dan kepakaran yang dimiliki MPWIM sangat dihargai.

Zolkharnain pula berkata, YADIM sangat mengalu alukan sebarang kunjung hormat kepada pihaknya.

Semua pihak menurut beliau, baik Islam atau pun bukan Islam dialu alukan datang ke YADIM.

“Ini sebenarnya gerakan memasyarakatkan YADIM, supaya kita betul betul nampak di tengah tengah masyarakat, ke mana pun orang ramai kenal organisasi ini

“Harap kita akan bekerjasama dengan erat dan strategik selepas ini, sebanyak mungkin kepakaran yang ada akan digunakan,” jelasnya.

 

 

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *