Home » Langit Terbuka » Model Ekonomi Islam Wajar Dipertimbangkan Pelaksanaannya

Model Ekonomi Islam Wajar Dipertimbangkan Pelaksanaannya

Professor Pendidikan Pembangunan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya Tan Sri Dr Kamal Mat Salih selepas menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan yang dipengerusikan oleh Tun Daim Zainuddin di Menara Ilham, hari ini.

KUALA LUMPUR – Dasar ekonomi Malaysia perlu dikaji semula bagi menangani pelbagai kegagalan isu sebelum ini, selain memastikan ia selari dengan perubahan serta keperluan semasa.

Prof Anjung Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Tan Sri Dr Kamal Mat Salih dari Universiti Malaya berkata, dunia kini sudah berubah dan negara harus mengadaptasi polisi yang sesuai mengambil kira keadaan semasa.

“Jadi, kita perlu menyesuaikan dasar yang selari dengan perubahan berlaku dan sentiasa meneliti kesesuaian itu,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) di Menara Ilham, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Model Ekonomi Islam (MEI) dilihat mampu menggantikan dasar ekonomi sedia ada kerana ia satu model ekonomi yang bersifat terbuka, berintegrasi serta universal kepada semua kaum.

“Ia adalah alternatif kepada Model Ekonomi Baru (MEB) yang disifatkan lebih tertumpu kepada pasaran dan pendekatan liberal.

“MEI akan membabitkan semua pihak termasuk pemain pasaran dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negara secara menyeluruh dan adil. Ia juga lebih terbuka kerana bukan Melayu pun boleh turut serta,” katanya.

Kamal berkata, model baharu itu bukan satu model yang antagonistik tetapi memerlukan penerimaan daripada kedua-dua masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini.

“Ini kerana Malaysia yang merangkumi 70 peratus penduduk Muslim dan 30 peratus bukan Muslim, perlu ditangani dengan sebaiknya.

“Namun, sistem nilai yang menggariskan sistem ekonomi Islam akan merangkumi kepentingan sejagat dan ia mampu memenuhi keperluan semua,” katanya.

Menurutnya, sepanjang 10 tahun lalu, beliau menjalankan pelbagai kajian bagi menggantikan model sedia ada (MEB) kerana ia dilihat gagal menangani isu pengagihan kekayaan.

“Jadi, MEI yang dicadangkan ini boleh dikatakan antara sistem kapitalis dan pasaran sosialisme,” katanya.

Selain itu katanya, dalam pertemuan dengan MPK, beliau turut membincangkan mengenai kegagalan sistem sedia ada yang dilaksanakan sejak 40 tahun lalu  dilihat tidak begitu banyak membabitkan mekanisme pasaran. – BERITA HARIAN ONLINE

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/07/445402/model-ekonomi-islam-wajar-dipertimbangkan-pelaksanaannya

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *