Oleh DR. YUSRI MOHAMAD
Pada asasnya, kita mengakui bahawa perpecahan dalam kalangan umat Islam bukan fenomena baharu. Bibit-bibit perpecahan pertama kali telah berlaku di antara khalifah Ali bin Abi Talib dan kumpulan Muawiyah yang kemudian mencetuskan siri peperangan Siffin dan Jamal. Konflik ini terus berlanjutan pada zaman Umaiyah dan Abbasiyah yang menyaksikan kedua belah pihak saling berperang disebabkan perebutan kuasa dan pengaruh.
Dalam lipatan sejarah masyarakat, fenomena perpecahan umat Islam wujud pada awal terbentuknya negara. Perpecahan ini, meskipun tidak menjurus kepada peperangan secara fizikal sepertimana yang berlaku pada peringkat awal Islam, akan tetapi apabila tidak ditangani secara serius, boleh membawa kepada kemusnahan bangsa dan negara.
Malangnya, kita seolah-olah buta dan tuli terhadap fakta-fakta sejarah tersebut. Kita tidak mahu belajar daripada sejarah yang telah menyajikan bahaya perpecahan sehingga bibit-bibit perpecahan itu masih terus mengekori perkembangan masyarakat Islam dan bangsa Melayu kini.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah(menghadapi segala kesulitan dengan cekal hati) sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.” (al-Anfal: 46).
Gesaan Allah SWT agar bersatu
Salah satu sebab perpecahan yang melanda masyarakat ialah ketidakmampuan dalam mengendalikan hawa nafsu selain tidak matang dalam memberikan tindak balas dalam perbezaan pendapat sehingga mudah melenting dan bergaduh sesama sendiri. Walhal, pergaduhan itu berpunca daripada isu remeh-temeh dan tidak menggugat keimanan.
Hakikatnya, apabila berlakunya sesuatu perselisihan, orang Islam diwajibkan untuk melupakan perbezaan dan kembali kepada asas keimanan dengan jelas. Sebarang perbezaan pendapat perlu diselesaikan secara berhemah dan beretika. Sikap prejudis dan tuduh-menuduh antara pihak yang berselisih perlu dielakkan.
Umat Islam tidak perlu takut akan berlaku perpecahan dan konflik di kalangan masyarakat Islam disebabkan berbeza pendapat kerana ajaran Islam berkemampuan untuk menampung aneka pendapat. Namun demikian perbezaan pendapat itu tidak boleh dilakukan secara bebas tanpa had sempadan.
Bibit-bibit perpecahan dapat diatasi apabila kita kembali semula kepada ajaran yang paling asas iaitu berpegang pada roh al-Quran. Kandungan al-Quran secara keseluruhan sebenarnya adalah menyerlahkan semangat persatuan. Jumlah ayat yang menganjurkan semangat persatuan atau perpaduan lebih banyak berbanding ayat yang menjelaskan perihal perpecahan.
Antaranya ialah Surah al-Hujurat ayat sepuluh yang bermaksud: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”
Surah Ali Imran ayat 105 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.”
Surah al-Syura ayat 13 yang bermaksud: “…Tegakkanlah pendirian agama dan janganlah kamu berpecah-belah dan berselisih pada dasarnya…”
Dan ayat 103 dari Surah Ali Imran yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.”
Perkara yang menarik dan patut menjadi renungan kita dalam kalimah-kalimah suci tersebut ialah bagaimana peringatan Allah agar jangan bercerai-berai didahului oleh peringatan untuk ‘menegakkan agama dan jangan berpecah’ (surah al-Syura ayat 13) dan ‘berpegang pada tali Allah’ (Ali Imran ayat 103). Menegakkan agama dan tidak berpecah-belah perlu berjalan seiring. Allah telah mensyariatkan untuk menegakkan agama yang benar, agama tauhid, patuh dan mentakdiskan Allah dan tidak musyrik dalam pelbagai bentuknya.
Menegakkan agama ialah bentuk kepada iman yang sempurna dan memelihara dari penyimpangan akidah. Apabila agama (takwa dan iman) telah tertegak, maka ketakwaan dan keimanan itu akan mendorong manusia untuk berpegang kepada kitab Allah dan tali-Nya.
Perpaduan sebagai agenda terpenting
Perpecahan sesama umat Islam boleh berlaku di mana-mana malah ada yang berpandangan kononnya perpecahan tidak dapat dielakkan kerana sepanjang sejarah, kita selalu berpecah. Dalil-dalil al-Quran dan hadis digunakan bagi menguatkan lagi hujah. Namun, apakah boleh kita katakan bahawa perpecahan yang berlaku sesama umat Islam itu sebagai satu takdir? Sejujurnya kita tidak boleh berdiam diri dan pasrah terhadap takdir itu tanpa ikhtiar. Semua pihak patut terlibat dalam agenda ini.
Rasulullah SAW pernah memberi amaran bahawa walaupun umat Islam jumlahnya ramai, tetapi bagaikan buih yang memutih di lautan (HR. Ahmad, Al-Baihaqi, Abu Dawud No. 3745). Segala perintah dan ajaran hilang bagaikan ditelan samudera yang luas. Keadaan ini menunjukkan kefahaman dan penghayatan umat Islam terhadap ajaran agama sebenarnya tidak lagi meresap ke dalam sanubari. Akibatnya, kebanggaan terhadap puak dan kelompok sendiri serta sikap ananiyah (egois) telah menyebabkan perpecahan terus berlaku.
Kalau direnung secara mendalam dengan hati yang ikhlas, akan tercetus satu persoalan, apalah erti kehadiran parti-parti Islam dan organisasi Islam jika bukan untuk membangun persaudaraan Islam? Kita sebenarnya memerlukan banyak negarawan yang berpihak kepada umat secara keseluruhan. Hakikatnya umat Islam sedang menghadapi fasa perpecahan dan perbalahan yang kritikal. Sudah tentu, perpecahan ini jika dibiarkan berterusan hanya akan merugikan umat Islam itu sendiri.
Sesungguhnya pengukuhan perpaduan masyarakat Islam hendaklah berasaskan kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah melalui pendekatan secara berhemah, penuh beradab dan bijaksana. Imej Islam yang sempurna, penuh kasih sayang dan dengan sifatnya memberi rahmat kepada sekalian alam perlu ditonjolkan. Pendekatan ini penting bagi mempastikan dakwah Islam menyentuh sanubari setiap anggota masyarakat Islam. Pengukuhan akidah juga penting bagi menjernihkan semula akidah umat Islam daripada terjahan sekularisme Barat dan ajaran yang menyeleweng seperti syiah dan liberalisme melalui pendekatan holistik di semua peringkat.
Perpaduan dan persatuan ummah perlu menjadi agenda prioriti umat Islam. Mendahulukan agenda perpaduan juga bertepatan dengan prinsip fiqh aulawiyyat (fikah keutamaan) sementelah berlakunya gempuran dan ancaman terhadap kesucian prinsip Islam yang semakin meningkat akhir-akhir ini. Oleh itu, umat Islam perlu menumpukan perhatian sepenuhya dan berusaha secara bersungguh-sungguh bagi merealisasikan perjuangan yang murni dan tulus ini.
Umat Islam perlu disedarkan dan dimatangkan bahawa usaha merealisasikan perpaduan ini perlu merentasi tembok pelbagai aliran pemikiran dan ideologi politik kepartian dan tertumpu kepada kerangka ummah yang bersandarkan kepada akidah dan amal makruf nahi munkar.
Banyak pihak berpandangan bahawa kekuatan Islam adalah kerana kesatuan matlamat dan perpaduan antara penganutnya. Justeru itu, jika semua kumpulan parti politik, organisasi dan pertubuhan yang sama-sama berlandaskan perjuangan Melayu dan Islam boleh berbincang, bermuafakat dan bersatu, tentunya kekuatan masing-masing dapat digembleng sebagai satu tenaga modal pengupayaan ummah, hasilnya sudah tentu amat menakjubkan.
Pada masa yang sama, bagi membina perpaduan ummah, cakerawala pemikiran perlu dibersihkan daripada kecenderungan ketaksuban politik, kumpulan, berpuak-puak, kesukuan dan mazhab agama yang hanya memecahbelahkan umat Islam. Sebaliknya menumpukan kepada nilai dan prinsip al-Quran yang perlu difahami secara komprehensif, jujur dan bertanggungjawab.
Meskipun sukar dan sentiasa mencetuskan pro-kontra, perpaduan ummah akan semakin mantap jika kesatuan dan kesepaduan politik dapat terlaksana. Oleh itu, semua pihak perlu melakukan inisiatif berterusan untuk membentuk pemuafakatan siasah demi menghasilkan perpaduan ummah.
Justeru, berasaskan kepada kesedaran itu, Majlis Dakwah Negara-YADIM telah mengambil daya usaha dan cuba memberikan sumbangan ke arah perpaduan ummah dengan memainkan peranan sebagai pemersatu umat Islam di negara ini. Keupayaan yang ada dengan dokongan pelbagai pihak yang merentasi sempadan politik, diharapkan akan mampu menjadi sebuah pasukan yang berperanan sebagai jurucakap ummat Islam di Malaysia.
Perpaduan di negara ini adalah harta yang paling mahal bagi memastikan kelangsungan Islam terus bertapak di Malaysia. Umat Islam telah kehilangan penguasaan dalam bidang ekonomi dan yang tinggal sekarang ini hanya kekuasaan politik. Justeru, peranan yang akan dimainkan pasukan itu nanti diharapkan akan menjadi pengawal yang menjaga sempadan-sempadan agar umat Islam tidak terkeluar dari daerah perpaduan kerana umat Islam wajib mengekalkan “syaukah” (kekuatan) di negara ini agar Islam terus terpelihara.
Majlis Dakwah Negara-YADIM akan terus berusaha menggalas cabaran perpaduan ummah ini dengan membentuk skuad dan pasukan yang teguh dan berwibawa bagi menggamit kekuatan umat Islam sama ada dalam kalangan parti politik, masyarakat sivil, pemimpin dan tokoh masyarakat dan kekuatan media massa.
Selain itu, bagi memastikan perjalanan misi perpaduan ini berterusan dan tidak bersifat ‘bermusim’, satu sekretariat khas perlu dibentuk. Sekretariat ini haruslah dianggotai ilmuwan atau tokoh-tokoh berwibawa yang merangkumi ahli-ahli yang merentasi sempadan ideologi politik dan kefahaman keagamaan yang sempit. Sekretariat ini hendaklah dilandasi dengan niat yang murni dan ikhlas semata-mata tertegaknya kesatuan dan keserasian ummah yang agung.
Akhirnya, apa yang diharapkan ialah dengan tertubuhnya sekretariat ini, misi perpaduan dan persatuan ummah akan lebih jelas dan konkrit selain dapat memberikan kesedaran dan kefahaman kepada masyarakat tentang peri pentingnya agenda perpaduan ini.
KOMEN