TEMERLOH – Selepas banjir surut, warga daerah ini mula pulang untuk membersihkan kediaman masing masing.
Ini merupakan fasa paling sukar pasca bencana banjir kerana memerlukan bukan sahaja tenaga, malah kewangan untuk pulih seperti sebelum ini.
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang turut serta dalam program Musa’adah Keluarga Malaysia bersama rakan rakan agensi agama hari ini (28 Disember) telah berkunjung ke Kampung Paya Dalam di sini bagi menyantuni warganya. Sebanyak 10 kediaman dipilih untuk dibantu dibersihkan.
Sukarelawan yang datang melaihat sendiri betapa dahsyat kesan banjir yang menenggelamkan hampir keseluruhan kampung.
Rumah rumah dimasuki air dan kesemuanya mempunyai kesan lumpur tebal, tumbuhan layu dan mati, perabot musnah, peralatan elektrik rosak serta kediaman pula perlu dibaiki.
Membantu sedaya yang mampu, YADIM menghulurkan sedikit sumbangan kepada penduduk selain membersihkan kediaman mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Haji Idris bin Haji Ahmad turt serta selain Yang Dipertua YADIM, Ustaz Nasrudin Hassan.
Selain di Kampung Paya Dalam, badan dakwah ini juga menyantuni komuniti di sini menerusi pembukaan Dapur Rakyat YADIM di Kampung Batu Satu. Sebanyak 1,000 pek makanan diagihkan setiap hari.
Misi pasca banjir kali ini turut disertai beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dibawah Majlis Amal Islami Malaysia antaranya Pusat Dakwah Serantau, Gerakan Pembela Ummah, PERKID Malaysia, RAHMAT Care, Sahabat Cakna Lembah Pantai, Syabab Care, Pertubuhan Syabab Prihatin, Akademi Didik Anak Muda, Humanitarian Inspiration dan beberapa lagi NGO serta sukarelawan daripada negeri Kedah, Perak dan Negeri Sembilan.
KOMEN