.. Alkisah, Narcissus adalah seorang rupawan yang setiap hari berlutut di sebuah danau sambil mengagumi keindahannya sendiri. Ia begitu terpesona oleh dirinya hingga suatu pagi, ia jatuh ke dalam danau itu dan tenggelam. Di titik tempat jatuhnya itu, tumbuh sekuntum bunga yang dinamakan narcissus. Setelah itu, dewi-dewi hutan muncul dan mendapatkan danau tadi, yang sebelum itu berisi air segar, telah berubah menjadi danau air mata yang asin.
“Mengapa engkau menangis?” tanya dewi-dewi itu.
“Aku menangisi Narcissus,” jawab danau.
“Oh, tidak hairanlah jika kau menangisi Narcissus,” kata mereka, “kerana walau kami selalu menari di dalam hutan ini, hanya kau saja yang dapat mengagumi keindahannya dari dekat.”
“Tapi…indahkah Narcissus?” tanya danau.
“Siapa yang lebih mengetahuinya daripada engkau?” tanya dewi-dewi, kehairanan.
“Dekatmulah ia tiap hari berlutut mengagumi dirinya!”
Danau terdiam beberapa saat. Akhirnya, ia berkata:
“Aku menangisi Narcissus, tapi tak pernah kuperhatikan bahawa Narcissus itu indah. Aku menangis kerana, setiap kali ia berlutut dekat di sisiku, aku bisa melihat, di dalam matanya, pantulan keindahanku sendiri.” …
(Dipetik daripada novel Paulo Coelho “The Alchemist”)
KARAKTER dan perilaku merupakan suatu teori mengenai bagaimana seseorang individu berkomunikasi yang mana perilaku yang digambarkan bergantung kepada karakter yang dimiliki. Tiga karakter yang dikenalpasti mengikut teori Dominic A. Infante, pengkaji dalam bidang komunikasi tingkah laku luar kawalan ialah ‘Argumentativeness’ yang menunjukkan karakter individu yang gemar menentang dengan kecenderungan menawarkan suatu topik yang berlawanan dalam berkomunikasi selain hanya cenderung dengan pendapatnya sendiri serta sering menyangkal atau menyalahi pendapat lawan.
Karakter kedua dipanggil ‘sosial and communication anxiety or communication anxiety’ ini mempamerkan sifat individu yang selalu gelisah dalam bersosial dan berkomunikasi atau menurut istilah lain adalah kekhuatiran komunikasi. Karakter ketiga pula adalah ‘narcissism atau self-love’, suatu sifat kecintaan yang mendalam pada diri sendiri dalam berkomunikasi. Anita Vangelisti, Mark Knapp, dan John Daly, menjelaskan bahawa individu narsis berkecenderungan untuk menonjolkan kelebihan yang ada pada diri sendiri sebagai suatu kebanggaan yang sering ditunjukkan kepada lawan bicara. Hal ini, jelasnya biasa terlihat secara ‘non verbal’ atau bahasa gerak badan dengan mempamerkan perilaku yang berlebih-lebihan dan memberikan kritikan terhadap penampilan individu lain dengan tujuan mengelak kritikan terhadap dirinya.
Terdapat pelbagai faktor penyebab seseorang cenderung menjadi narsis. Faktor-faktor tersebut antara lain adalah faktor keturunan dan faktor persekitaran. Narsis biasanya timbul akibat daripada pujian dan penghormatan yang diterima berulang kali daripada individu lain. Sebagai contoh, seseorang akan berasa dirinya cantik kerana acapkali menerima pujian bahawa dirinya cantik meskipun pada awalnya dia tidak berasa dirinya sedemikian. Narsis tidak hanya bermanifestasi pada perilaku yang gemar memuji dirinya sendiri, kerap menghadap cermin atau kerap bergaya persis model, tetapi juga terdapat implikasi lain daripada sikap narsis itu sendiri.
Sikap-sikap narsis:
1. Mereka yang bersikap narsis akan berasa lebih hebat dan besar berbanding orang lain.
2. Memiliki fantasi untuk mencapai kejayaan dan kekuasaan yang tinggi.
3. Berasa dirinya unik dan berbeza daripada orang lain.
4. Gemar memberikan kritikan bahawa dirinya lebih daripada segenap segi daripada orang lain.
5. Ingin layanan istimewa daripada orang lain.
6. Cenderung memanipulasi dan mengeksploitasi bagi kepentingan sendiri.
7. Tidak mempunyai rasa belas simpati serta angkuh dan sombong.
Tidak dapat dinafikan, setiap manusia mempunyai keinginan untuk diutamakan yang jika tidak dijaga dengan baik akan membawa pada kecacatan kekal yang hina lagi keji, iaitu sikap tamak dan mementingkan diri sendiri. Ia lebih jelas kelihatan pada manusia yang bersifat ingin kehadirannya disedari, ingin dirinya kelihatan penting di dalam komuniti yang didiaminya. Jika tidak, mana mungkin wujud segala macam jenis horoskop, kenali personaliti melalui tarikh lahir, bulan lahir, hari lahir, anak nombor berapa, tahi lalat, bentuk wajah melalui tajul muluk dan sebagainya – hanya untuk menentukan spesies dan kategori manusia manakah kita ini.
Daripada Ibnu Mas’ud, beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Tidak masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat sezarah kesombongan (takbur).” Berkata seorang sahabat, “Wahai Rasulullah, bagaimana dengan seseorang yang menyukai pakaian dan sepatunya yang bagus?” Rasulullah menjawab, ”Sesungguhnya Allah itu baik/indah, dan menyukai kebaikan/keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan memandang orang lain lebih rendah.”
Jika dilihat dari sudut psikologi, sikap narsis ini termasuk di dalam kategori penyakit jiwa.
Sigmund Freud, menghuraikan bahawa narsis berpotensi terarah kepada keadaan ‘Narcissistic Personality Disorder’ (NPD), suatu keadaan gangguan karaktor individu yang menunjukkan kesombongan, egoisme, riak dan kecintaan yang berlebihan pada diri sendiri. Istilah tersebut juga digunapakai pada kelompok sosial tertentu yang didorong sikap mengkritik dan memburuk-burukkan anggotanya.
Individu narsis senantiasa dibelenggu oleh egoisme dan penumpuan kepada dirinya sendiri sehingga ‘mengaburi matanya’ untuk melihat kebaikan, keunggulan, dan kebenaran individu lain selain dirinya. Rasulullah bersabda, bahawasanya ciri utama orang yang takbur adalah menolak kebenaran. Mereka menolak kebenaran dan kebaikan selain daripada diri mereka kerana baginya tidak wujud kebenaran selain diri mereka. Bahkan merekalah yang paling benar. Mereka membesar-besarkan diri mereka dan mengerdilkan orang lain.
Allah s.w.t menegaskan dalam al-Quran yang bermaksud, “Aku akan palingkan orang-orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi dari ayat-ayat-Ku.” (al-A’raf: 146)
Tidak dapat dinafikan setiap manusia mempunyai sikap narsis. Bagaimanapun, yang membezakan mereka adalah tahap darjahnya. Ada pendapat penyatakan bahawa narsis juga mempunyai sisi yang positif jika dipraktikkan sekali-sekala.
Perkara penting yang perlu ada ialah garis panduan yang dapat membezakan narsis dengan keyakinan diri. Individu yang berkeyakinan pada diri biasanya akan menghargai pujian dan penghargaan yang diterima tanpa beranggapan bahawa pujian dan penghargaan itu suatu kemestian. Keyakinan dan kepercayaan pada diri dapat dilihat daripada sikap keterbukaan terhadap kritikan. Individu sebegini walau tidak mendapat layanan dan keistimewaan tidak akan berasa kekecewaan sepertimana individu narsis.
Individu ini juga mempunyai perasaan simpati dan mengambil kira perasaan individu lain. Cara terbaik bagi mencegah individu ini menjadi narsis adalah dengan bersedia menerima kritikan orang lain dengan hati yang terbuka. Selain itu, sering menyelami kelebihan dan kekurangan pada diri juga merupakan salah satu cara agar keyakinan dan kepercayaan diri bertukar kepada narsis. Individu yang berkeyakinan dan percaya pada keupayaan dirinya sendiri tidak bergantung kepada orang lain dalam mencari keselesaan.
Sebaliknya, rahsia besar individu narsis ialah mereka sangat bergantung kepada pujian dan penghargaan orang lain dalam mencapai keyakinan diri. Jauh di sudut hati mereka, tersimpan sebuah jiwa yang rapuh dan senantiasa hidup dengan harapan tinggi menggunung akan pujian daripada orang. Persis ibu tiri Snow White yang selalu bertanya pada kaca ajaibnya, “Mirror mirror on the wall! Who´s the fairest of them all?”
Oleh Noorzihan Mohamed Yin
KOMEN