Home » Resensi » Minda yang terurus

Minda yang terurus

sumber

Semakin hari, kita perlu menambah maklumat dan kerana itu maklumat menjadi begitu penting bagi kita meneruskan kehidupan. Tanpa maklumat, kehidupan harian terasa begitu kosong dan membosankan.

Sebelum internet menjadi sarana pencarian maklumat, kita banyak bergantung kepada pelbagai media, kerana itulah media pernah menjadi suatu bentuk industri yang menguntungkan, selepas produk yang dikeluarkan oleh kilang-kilang semasa barangan pengguna menjadi pilihan orang ramai.

Berbeza dengan kemunculan revolusi industri, pertumbuhan kilang-kilang menjadikan bidang pekerjaan memerlukan sistem pengkhususan. Seperti kita sedar, apabila manusia melakukan kerja secara khusus, ia akan melahirkan kecekapan dan peningkatan kemahiran. Lama-kelamaan, manusia semakin bosan dengan pengkhususannya, kerana manusia bukan makhluk satu dimensi sebagai kekhususan sesuatu alat.

Kebosanan itu menyebabkan manusia mencipta “aturan kerja” dengan menyediakan “line of production.” Bagi kerja-kerja yang membabitkan pemiawaian pula, manusia mencipta alat khusus untuk melaksanakan kerja yang berulang-ulang. Misalnya, untuk mengetatkan kedudukan sesuatu komponen, manusia menciptakan mesin yang hanya boleh digunakan untuk membuka dan mengetatkan skrew.

Sebelum sesebuah “line of production” dibentuk, setiap pekerja misalnya akan melaksanakan kerjanya berdasarkan pengetahuannya yang jelas terhadap sesutau komponen. Ia seperti seorang pekerja membaiki kenderaan. Sebagai seorang pekerja yang cekap, seseorang itu mestilah terlebih dahulu kenal dan memahami alat-alat atau komponen dalam sesebuah kenderaan. Ertinya, kecekapannya diukur sebanyak mana seseorang pekerja bengkel kenderaan memahami ribuan alat yang dipasang pada sesebuah enjin.

Kini, walaupun alat-alat yang sama masih menjadi pelengkap mutlak bagi sesebuah kenderaan, manusia akan menambahkan pengetahuannya dengan memerhatikan apa sahaja yang berkaitan dengan enjin kenderaan. Ia mesti boleh menghafal nama-nama alat dan mengetahui dengan baik mengenai struktur enjin yang bersifat logam, hinggalah kepada kesesuaian jenis petrol yang digunakan untuk menggerakkan enjin kenderaan. Begitu juga dengan perkembangan yang berlaku dalam bidang psikologi kognitif dan sains neuro.

Sains neuro merupakan kaedah untuk memahami fungsi dan cara otak bekerja manakala psikologi kognitif pula berusaha mencari sifat dan sikap yang terhasil daripada aktiviti berfikir. Tiga bulan lalu, sebuah buku mengenai kaedah menyusun minda agar terurus untuk menghasilkan keputusan yang berkesan dan mencapai kebahagiaan, kesejahteraan hidup, kesenangan serta tidak mudah “sesat dalam kebanjiran maklumat’ diterbitkan oleh syarikat penerbitan Dutton, Amerika Syarikat (sebuah syarikat yang bernaung di bawah jenama Kumpulan Penerbitan Penguin) dengan tajuk ‘The Organized Mind:Thinking Straight in the Age of Information Overload’, hasil kajian dan tulisan Daniel J Levithin, Profesor Psikologi dan Sains Neuro Tingkah Laku dari Universiti McGill, yang juga Dekan Kolej Seni dan Kemanusiaan, Pusat Pengajian Miverna, Keck Graduate Institute, San Francisco, Amerika Syarikat.

Keperluan maklumat dalam membuat keputusan pernah dibangkitkan oleh Herbert Simon (1916-2001), seorang ahli ekonomi, psikologi pengurusan dan sosiologi dari Carnagie Mellon University pada tahun 1947 dalam bukunya yang terkenal, Administrative Behavior. Antara pandangannya ialah kesukaran membuat sesuatu keputusan berkaitan pentadbiran sekiranya maklumat tidak mencukupi ataupun terlalu banyak maklumat. Bila maklumat tidak mencukupi, sesuatu keputusan dilihat kurang tepat dan berkesan. Bila terlalu banyak maklumat, sesuatu keputusan tidak dapat dilakukan dengan cepat kerana memerlukan penyaringan dan penentuan kesahihannya.

Dalam situasi ledakan maklumat, timbul pula pelbagai jenis maklumat sehingga boleh menyukarkan seseorang itu menilai kepentingan dan kesahihannya. Inilah dilema yang hendak dirungkaikan oleh Daniel Levithin apabila memahami bahawa kesan saban hari manusia dihadapkan dengan terlalu banyak maklumat. Pada tahun 1970-an, Alvin Toffler membincangkan mengenai perkembangan teknologi memproses maklumat setelah peralatan semakin banyak dicipta dan kecepatannya berlipat ganda sehingga dianggap sebagai trajektori yang membawa kepada kejutan masa depan.

Kejutan itu sebenarnya sudah lama berlaku, iaitu selepas teknologi percetakan yang dikembangkan oleh Gutenberg daripada kaedah percetakan daripada negeri China menjadi lebih efisien menyebabkan lambakan buku dikeluarkan. Dunia perbukuan menjadi satu bentuk industri, hingga kini selain buku, penerbitan majalah dan akhbar melahirkan ramai jutawan. Kini, walaupun industri persuratkhabaran dan majalah semakin merosot, industri maklumat terus melahirkan orang kaya baharu berkat kebolehan mereka mencipta perisian komputer dan pelayan media sosial.

Seorang lelaki daripada China misalnya, Jack Ma menjadi tokoh terbaharu yang membina kekayaan menerusi transaksi maklumat pembayaran elektronik menerusi pengapungan syarikat pembekalan e-dagang, Alibaba. Bagaimanapun, kebanjiran sarana memproses maklumat dan enjin carian maklumat menyebabkan kita kadangkala terlalu sukar untuk menyaring maklumat yang boleh kita gunakan kerana mengambil masa yang panjang untuk memilih dan menyisihnya. Misalnya, menerusi enjin carian Google, proses mencari maklumat itu kadangkala menyebabkan kita terperangkap antara provokasi, kekaburan dan sampah berbanding fakta sebenar yang kita cari untuk melengkapkan keputusan yang bakal kita ambil.

Menurut Daniel Levithin, terlalu banyak maklumat akan menyebabkan terlalu banyak andaian dan keputusan yang perlu kita ambil sehingga ia menimbulkan suasana keliru atau dikenali sebagai ilusi visual. Ilusi visual menjadi semakin berkembang dalam pemikiran manusia, akibat kenaifan digital yang lebih banyak bersifat hiper realiti. Situasi ini, dari perspektif humanisme dianggap sebagai distortion, dan kerana itulah apabila tersalah pilih dan mudah mempercayainya, ia akan menghasilkan persepsi yang bias. Inilah yang sedang kita alami apabila ramai yang percayai setiap maklumat yang dimuatkan dalam platform media sosial, termasuk visual yang mudah diubahsuai sebagai sesuatu yang menyerupai realiti, sehingga boleh pula menjejaskan nilai-nilai yang kukuh dan dipertahankan sebagai asas kekuatan psikologi dan politik.

Kebanjiran maklumat dalam era digital, memerlukan kita kembali memahami bagaimana proses berfikir itu mempengaruhi tindakan yang akan kita ambil untuk masa depan agar tidak mengalami kesilapan dan menimbulkan keresahan besar. Menurut analisis Daniel Levithin, proses berfikir seseorang itu berterusan atas dua alat yang menentukan penerimaan dan penolakan. Secara alamiahnya, minda kita mempunyai dua sarana, iaitu pengesan dan penapis. Apabila kita berhadapan dengan sesuatu perkara baharu, yang bukan lazim kita temui, minda kita akan cepat menangkapnya kerana ia berjaya memberikan tarikan atau kejutan. Neuron pengesan itu bertindak seperti pengesan asap yang dipasang di bahagian siling bangunan, apabila partikel asap melintasi atau dapat dihidu oleh alat pengesan itu, ia menyebabkan penggera menjadi aktif. Begitu juga di sebaliknya, apabila sesuatu yang dilihat lazim, neuron yang satu lagi bertindak sebagai penapis, sama ada membangkitkan perhatian atau pelengahan seterusnya. Hal ini dapat kita perhatikan apabila kita memandu dan sepanjang jalan itu terlalu banyak papan tanda yang kita temui, dan tentunya, papan tanda yang unik dan mempunyai mesej yang kuat berjaya menggerakkan minda kita untuk mengesannya. Neuron akan cepat berkembang sehingga menyebabkan minda kita berfikir, menilai dan seterusnya membuat andaian.

Kelebihan kejutan neuron dalam konteks pengesanan ini banyak digunakan dalam bidang periklanan, dan kerana itulah setiap iklan dilihat unik. Akibat keunikan itu juga ia menjadi ikutan dan peniruan oleh pengiklan lain yang berusaha memperkenalkan produk mereka dengan menggunakan syllogism yang sama. Contohnya, ada kenyataan iklan sembilan daripada sepuluh menggunakan sabun X. Model yang digunakan mestilah yang cantik secara semula jadi, gebu dan mempunyai kulit pulith melepak. Ertinya, kegebuan itu bukan disebabkan sabun yang digunakan. Neuron yang bersifat penapis akan membuat penyisihan atau penafian, kerana salah seorang yang tidak menggunakan sabun berkenaan mungkin lebih cantik daripada model yang membuat kenyataan. Begitu juga dengan satu lagi kempen produk kesihatan, cecair mandian berjenama Y berjaya membunuh 99.9 peratus bakteria.

Bagi neuron pengesan, ia memberikan pengaruh untuk menukarkan jenama cecair mandian, tetapi, bagi mereka yang memikirkan ia sebagai sesuatu yang lazim, akan menyebabkan neuron penapis melontarkan persepsi, bakteria yang tidak dapat disingkirkan iaitu 0.1 peratus itulah sebenarnya yang membunuh ramai manusia dan itulah sebabnya penyakit berkaitan dengan kulit tidak pernah lenyap. Kanser kulit masih ditakuti, dan jenama Y sebenarnya tidak mampu menyihatkan kulit. Ada banyak pemerhatian lain yang perlu diikuti, termasuk menjaga jenis makanan dan memahami bahan-bahan alergik. Sebab itulah dalam kempen cecair cucian, yang menggunakan tagline 100 peratus dipercayai mampu menjauhkan kuman lebih berjaya daripada sabun X yang hanya digunakan oleh 8 daripada 10 artis atau yang hanya mampu membunuh 99.9 peratus bakteria.

Bila diterjemahkan dalam perilaku yang berkaitan dengan pengurusan persepsi kesan kebanjiran maklumat dalam era digital, panduan dan saranan yang dikemukakan oleh Daniel Levithin ini amat menarik, dan mudah dipraktikkan dalam kehidupan agar tidak mudah terjerumus dalam hiper realiti. Sebagai usaha untuk mengekang kebohongan digital dan kesukaran membuat keputusan akibat kebanjiran maklumat, buku ini wajar diberikan perhatian, kerana perspektif perbincangan adalah bersasaskan penemuan terbaharu dalam bidang psikologi sosial, dan kemudiannya dipadankan dengan psikologi kognitif serta kajian terbaharu mengenai neurosains. Satu buku yang menarik dan mudah dipraktikkan, baik oleh sesiapa yang berhasrat untuk menjadi “wira media sosial” ataupun mencetuskan provokasi dan membentuk strategi positioning media.

Kamarun KH

Sumber daripada www.wasatiyyah.net

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *